Internet di sekolah dibuka kepada syarikat lain Isnin ini


KEMUDAHAN internet di sekolah akan disediakan oleh tiga syarikat perkhidmatan talian internet (ISP) selepas kontrak 1BestariNet, yang menyediakan kemudahan itu sejak 2012, berakhir hujung bulan ini, kata Kementerian Pendidikan.

Dengan tamatnya perkhidmatan 1BestariNet, Kementerian Pendidikan juga menggantikan platform pembelajaran FrogVLE kepada Google Classroom.

Tiga syarikat ISP itu ialah Telekom Malaysia Berhad, Celcom Axiata Berhad dan Maxis Broadband Sdn. Bhd.

Kementerian dalam satu kenyataan mengumumkan perkhidmatan tiga syarikat ISP itu akan bermula Isnin minggu depan untuk kemudahan internet di lebih 10,000 sekolah di seluruh Malaysia.

“Tiga syarikat ISP itu juga akan menyediakan perkhidmatan talian internet ke beberapa bahagian di KPM dan 366 pusat kegiatan guru (PKG) di seluruh negara. 

“Perkhidmatan ini adalah bagi tempoh enam bulan sehingga 31 Disember 2019,” kata kementerian dalam satu kenyataan hari ini. 

Selepas tempoh itu, iaitu bermula Januari 2020, kementerian akan memilih penyedia perkhidmatan internet yang baharu “selepas melakukan penilaian dan penambahbaikan yang diperlukan.”

Kenyataan Kementerian Pendidikan juga memberi peringatan bahawa dalam tempoh peralihan ini sebahagian sekolah terutama di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak akan mengalami sedikit gangguan.

Gangguan itu dijangka selesai sebelum akhir Julai, kata kenyataan itu.

Kementerian juga menyediakan talian khas bantuan menerusi MyGCC 03-8000 8000 atau e-mel [email protected] atau [email protected] bagi membantu semua pihak terlibat menikmati perkhidmatan terbaik dan tanpa gangguan sepanjang tempoh yang dimaksudkan. 

“Berdasarkan maklum balas yang KPM terima selama ini, usaha di atas dilakukan sebagai langkah prihatin ke atas guru dan anak-anak dan mahukan yang terbaik untuk warga sekolah,” kata kenyataan itu.

Dalam satu jawapan kepada soalan di Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kerajaan mengekalkan kontrak 1BestariNet selama ini kerana ia terikat dengan perjanjian yang dibuat syarikat itu dengan pentadbiran Barisan Nasional.

1BestariNet dikendalikan oleh YTL Corp. Berhad dengan jumlah kontrak lebih RM4 bilion bagi tempoh 15 tahun.

Ia diberikan kepada YTL Communication Sdn Bhd melalui tender terbuka semasa Muhyiddin Yassin jadi Menteri Pendidikan dan Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun kecekapan projek itu ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara dan dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara pada 2013 dan 2014.

Antara masalah yang dibangkitkan ialah kelengahan pemasangan kemudahan internet, kelemahan akses kepada jalur lebar dan kegagalan pihak kementerian menyemak keperluan sekolah. – 27 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen