Hadapi agenda Najib dengan hikmah


 SEMUA pihak sedar bahawa selama Perdana Menteri Najib Razak berada di tampuk Putrajaya, rakyat semakin hari semakin tertekan. 

Terbaru, kenyataan Najib yang memandang remeh dengan GST 6%. Ia satu isyarat bahawa peratusan GST bakal meningkat lagi andai Najib terus berkuasa.

Kesedaran ini membawa satu kesimpulan oleh semua pihak bahawa mengekalkan Najib sebagai PM akan memberi implikasi bahaya. Justeru, semua pihak perlu menumpukan perhatian untuk memastikan Najib tidak diberi undi dalam PRU akan datang.

Proses menjayakan agenda menyelamatkan Malaysia daripada cengkaman Najib, mewajibkan semua pihak jelas akan perkara yang perlu dilakukan dalam menggagalkan permainan Najib menjelang PRU yang akan datang - iaitu dengan menggunakan mekanisma pecah perintah dan pecah undi di pihak Pakatan Harapan (PH) dan entiti pembangkang lainnya.

Hal ini kerana, Najib dan Barisan Nasional (BN) sedar sokongan rakyat kepada mereka sudah jatuh menjunam, maka memerlukan mekanisma pecah undi PH untuk membawa kepada kemenangan. 

Sebelum ini, pihak PH sedar mekanisme yang terbaik dan terjamin untuk menghadapi keadaan ini adalah menerusi pertembungan satu lawan satu menentang Umno-BN. 

Namun, dengan realiti pendirian aneh pemimpin PAS terkini, agenda Najib itu kelihatan bakal direalisasikan.

Justeru, mekanisma ini sudah difikirkan oleh PH. 

Dengan melihat senario politik terkini dan perbandingan dengan data pengundi di semua peringkat dalam PRU lalu, pihak strategi dan pemegang data PH mendapati bahawa mekanisme Najib itu bukan cara terbaik bagi Najib untuk mengekalkan berkuasa. 

Namun, ia tetap digunakan kerana cara ini adalah mekanisme terakhir bagi Najib untuk memastikan Umno-BN beserta dasar beban kepada rakyat kekal di Putrajaya. 

Walaupun pendirian pemimpin PAS memberi kekuatan kepada Najib dan memungkinkan agendanya, dalam culaan PH dapati bahawa sokongan PAS itu dilihat pada tiga segmen:

i. Ahli PAS yang wala’. Mereka ini tetap akan mengundi PAS dan kemungkinan mengundi UMNO jika diarahkan begitu oleh pemimpin PAS.

ii. Ahli PAS yang tidak bersetuju dengan pendirian pemimpin PAS tetapi mendiamkan diri. Kemungkinan besar mereka ini tidak keluar mengundi atau memberi undi kepada PH.

iii. Penyokong PAS. Dari sudut kaji selidik, kalangan ini yang bakal mengundi PAS teramat rendah, dan kebanyakan mereka akan ambil pendirian (B), iaitu sama ada mereka tidak keluar mengundi atau mengundi PH.

Dengan keadaan ini, pihak PH sedar bahawa PAS dalam hal ini perlu dilihat pada dua sudut yang berbeza, iaitu: 

i. Pendirian pemimpin PAS yang amat sukar untuk menyatakan hasrat bersama dengan PH.

ii. Pendirian pengundi PAS yang berkemungkinan mengundi PH untuk PRU akan datang.

Tanpa kita nafikan bahawa satu lawan satu adalah cara yang ideal. Namun, secara realitinya ia hampir gagal dilaksanakan. 

Maka, pimpinan beserta jentera PH telah merangka strategi mendepani perlawanan tiga penjuru, melawan entiti yang ternyata mahu membantu Najib, dan Insya-Allah akan melakukan segala yang terdaya untuk meraih keputusan yang positif walaupun dalam majoriti yang agak tipis, demi mempertahan kebajikan dan agenda rakyat. 

Doakan dan sertai usaha murni ini. – 28 September, 2017.

* Nurul Izzah Anwar adalah Naib Presiden PKR.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen