4 pekerja asing dikhuatiri maut tertimbus 


Operasi mencari dan menyelamat diaktifkan jabatan itu dengan penglibatan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selepas laporan berhubung insiden itu diterima kira-kira pukul 9.25 malam ini.– Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, 25 Jun, 2019

EMPAT warga Myanmar terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Batu Feringghi, Pulau Pinang malam ini, menurut laporan media.

Pengarah Bomba Pulau Pinang Saadon Mokhtar yang mengesahkan kejadian itu berkata operasi mencari dan menyelamat diaktifkan jabatan itu dengan penglibatan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia selepas laporan berhubung insiden itu diterima kira-kira pukul 9.25 malam ini.

“Setakat ini kita sudah menemui lokasi mangsa-mangsa di bawah timbunan tanah kira-kira 4.5 meter dalam dan usaha mengeluarkan mereka sedang dilakukan,”  katanya.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 9.25 malam di tapak pembinaan berhampiran pusat peranginan Lost Paradise, di sepanjang laluan pantai di pulau berkenaan.

Kejadian tanah runtuh kerap berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini di Pulau Pinang.

Pada 19 Oktober, 2018, tanah runtuh berlaku di tapak pembinaan jalan di Bukit Kukus yang menyebabkan tiga orang terbunuh.

Pada 21 Oktober, 2017, 11 pekerja kebanyakannya warga asing terbunuh dalam kejadian tanah runtuh. Pada 5 Oktober tahun yang sama, beberapa kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat menyebabkan tujuh orang terbunuh. – 25 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen