PAS boleh pecah sekali lagi, kata perwakilan muktamar


Mohd Farhan Darwis Sheridan Mahavera

Presiden PAS Hadi Awang perlu memainkan peranan penting memahamkan akar umbi tentang kerjasama parti itu dengan Umno. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Jun, 2019.

PAS boleh berpecah kalau ahli-ahlinya tidak berikan pemahaman yang betul tentang kerjasama dengan Umno, kata Ketua Penerangan PAS Kedah Ahmad Yahya.

Risiko sama juga boleh berlaku pada Umno, katanya.

Berucap pada muktamar tahunan PAS, Ahmad sebagai perwakilan Kedah berkata, dua parti besar Melayu Islam itu berdepan ancaman berpecah kerana ada pihak yang mahu mengambil kesempatan menggagalkan kerjasama itu.

“Andai kita gagal laksanakan dua tugas ini, iaitu untuk memberi kefahaman kepada ahli dan wala’ (taat kepada keputusan pimpinan) nescaya kita berhadapan dengan cabaran di hadapan.

“Akan berjaya pihak yang berusaha sekarang untuk cari orang yang tidak berpuas hati di kalangan PAS dan Umno dengan kerjasama ini untuk membentuk satu lagi parti baru, maka akan berlaku lagi perpecahan di kalangan kita,” katanya.

Beliau berucap membahaskan ucapan dasar presiden sempena Muktamar PAS ke-65, di Kuantan, Pahang hari ini.

Dalam ucapannya, Ahmad mengingatkan pimpinan PAS agar memastikan sejarah hitam perpecahan dalaman beberapa tahun lalu yang melahirkan Amanah tidak lagi berulang.

“Jaga-jaga, hati-hati jangan biar sejarah berulang… akan ada penebuk-penebuk kapal yang baru dalam jemaah ini.

“Pelihara dan jagalah jemaah ini agar kesatuan yang kita nak bina di luar sana mesti bermula dari dalam jemaah kita ini,” katanya.

PAS dan Umno boleh berpecah sekiranya gagal memahamkan akar umbi tentang kerjasama mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Jun, 2019.

Beliau turut menegaskan, kerjasama antara kedua-dua parti Melayu itu harus didasari Islam.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam mengakui, ada ahli kedua-dua parti yang fobia antara satu sama lain, namun memberi jaminan ia akan dapat diatasi.  

Beliau bagaimanapun menegaskan pendirian PAS tidak akan menuntut hendak mengetuai kerjasama politik tersebut walaupun beberapa perwakilan dari sayap Pemuda dan Ulama menggesa parti Islam itu memimpin.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dalam ucapannya merasmikan Muktamar Dewan Ulama kelmarin, berkata PAS tidak boleh jadi pengikut, seperti sebelum ini, sebaliknya mesti mengetuai sebarang kerjasama politik pada masa depan.

Beliau mengulangi kenyataan yang pernah dibuatnya tiga tahun lalu bahawa mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan parti Islam itu mesti menerima PAS sebagai pemimpin.

PAS sebagai teraju adalah syarat asas kerjasama dengan parti Islam itu, katanya ketika itu.

PAS dan Umno sedang memuktamadkan kerjasama politik yang bentuknya sedang dibincangkan pada peringkat jawatankuasa bersama parti sejak awal Mac lalu. – 22 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen