Nazir Razak, pengguna media sosial puji Sultan Johor selar kedai dobi Islam


Looi Sue-Chern

Tindakan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyelar pemilik kedai dobi hanya untuk Islam di Muar mendapat dipuji pengguna media sosial. – Gambar Twitter, 27 September, 2017.

TINDAKAN Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menyelar pemilik satu-satunya kedai dobi untuk orang Islam di Muar, mendapat pujian daripada Pengerusi Kumpulan CIMB Nazir Razak dan penguna-pengguna media sosial lain.

Sultan Ibrahim melabel polisi kedai dobi itu sebagai “tidak boleh diterima dan bersifat ekstremis”. Baginda juga mengarahkan pemiliknya supaya membuka kedai kepada orang bukan Islam juga atau berdepan risiko ditutup.

“Inilah kepimpinan. Hubungan sosial pelbagai kaum di negara sedang terancam, jadi sangat lega mendengar suara Tuanku Sultan yang tegas dan jelas,” kata adik Perdana Menteri Najib Razak itu di Instagram hari ini.

“Tiada dolak-dalik, tiada politik.”

Najib setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kontroversi itu yang tercetus apabila sebuah foto menunjukkan satu papan tanda di depan sebuah kedai dobi yang menyatakan hanya pengguna Islam dibenarkan menggunakan mesin basuh menjadi viral.

Dalam satu maklum balas, Sultan Ibrahim bertitah Johor bukannya sebuah negeri “Taliban” selain menyelar pemilik kedai dobi itu sebagai “sakit”, serta mencadangkan kedai dibuka di Afghanistan.

Pengguna media sosial kemudian memuji tindakan baginda yang bersuara mengenai perpaduan dan keharmonian di Malaysia.

Di Twitter, aruna(@imfsea) berkata, Malaysia tidak akan ada polarisasi agama dan kaum serta ekstremisme jika semua negeri mempunyai pemerintah seperti Sultan Ibrahim.

“Memalukan! Kerajaan Umno-BN tak buat apa-apa untuk menyelar dan menutup ‘dobi kotor’, tapi Sultan Johor lakukannya untuk rakyat,” katanya.

E.S Shankar (@esshankar1) juga mengecam kerajaan kerana tidak bersuara tentang isu yang mencetuskan kontroversi besar di negara dan dijadikan berita antarabangsa.

“Bravo Tuanku Sultan Johor! Sultan telah bersuara yang mana @PMOMalaysia Najib, @JamilKhir_myg dan kerajaan pencuri tak berani untuk buat perkara yang betul,” kataya.

Di Facebook, Jeffrey FK Phang berkata Sultan Ibrahim telah menetapkan satu konteks bagi sebuah negeri yang sederhana.

“Negeri-negeri lain kurang bernasib baik, pemimpin tak bersuara. Senyap-senyap mereka biarkan fundamentalis dan ekstremis meregangkan masyarakat,” katanya.

Sementara Pilocarpine pula berkata, “Pemikiran yang memecahbelahkan, Talibanisasi dan ugutan untuk menyalahgunakan agama bagi agenda peribadi tiada tempat di Johor, dan seterusnya di Malaysia.

“Terima kasih, Sultan kerana berjaya menyelesaikan kemelut ini.”

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang sebelum ini turut mengkritik kedai dobi untuk Islam itu juga memberi komen atas tindakan Sultan Ibrahim dengan berkata:“Kita perlu menjadi sederhana dan progresif…”

Sulatn Ibrahim juga mengarahkan majlis eksekutif negeri dan semua majlis tempatan membatalkan mana-mana lesen perniagaan yang “menjalankan amalan diskriminasi sedemikian”.

Ketika kontroversi bermula, pemilik kedai dobi mempertahankan dirinya, dan mendakwa dia hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai orang Islam serta bukan bersikap perkauman. Ada juga yang berpendapat tidak salahnya bagi pemilik itu bertindak sedemikian.

Penasihat Majlis Agama Johor Noh Gadut dipetik sebagai berkata, orang Islam dan bukan Islam mesti memastikan pakaian mereka tidak bercampur dengan “najis mughallazah”, atau najis babi dan anjing. – 27 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen