Permohonan Rosmah tangguh isytihar harta didengar 26 Julai 


Rosmah Mansor berdepan 12 tuduhan kegiatan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2019

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 26 Julai untuk mendengar permohonan isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor bagi menangguhkan perintah pelaksanaan pengisytiharan perolehan harta dalam kes pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas peguam Rosmah, Geethan Ram Vincent memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mohamed Zaini sebelum ini yang memerintahkan Rosmah mengisytihar perolehan hartanya.

Menurut Geethan, rayuan pihaknya akan menjadi akademik sekiranya pengisytiharan perolehan harta itu dilaksanakan.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun belum menetapkan tarikh pendengaran rayuan tersebut.

Mohamed Zaini menetapkan 26 Julai untuk mendengar permohonan penangguhan itu dan memerintahkan semua pihak memfailkan hujahan bertulis sebelum 12 Julai.

Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam K. Kumaraendran supaya Rosmah, isteri Najib Razak, dikecualikan hadir pada prosiding pendengaran itu. Rosmah, 67, hadir ke mahkamah hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farizul Hassan Bakri dan Poh Yih Tinn mewakili pihak pendakwaan.

Pada 24 Mei lepas, Mohamed Zaini menolak permohonan Rosmah untuk mengetepikan notis pihak pendakwaan  yang mewajibkan beliau mengisytiharkan perolehan hartanya dari 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2017.

Mohamed Zaini ketika memutuskan perkara itu berkata tujuan notis berkenaan adalah untuk membantu pihak pendakwaan dalam mengenal pasti harta milik seseorang yang disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram.

Pada 4 Oktober, 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 tuduhan kegiatan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148, Jalan Ampang Kuala Lumpur, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur, antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Tuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) dan dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai kegiatan haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, dia didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan. – Bernama, 18 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen