Otai Reformis 1998 papar kegelojohan PKR


14 Jun lalu, Pengerusi Otai Reformis 1998 merangkap Adun Ijok Dr Idris Ahmad telah membuat gesaan berikut:

“Otai Reformis 1998 dalam mesyuarat tergempar, Rabu 12 Jun 2019, di Restoran Amjal jam 1000 malam telah sebulat suara dan sepakat mengambil pendirian berikut: Dr Mahathir, perdana menteri, wajar menetapkan time frame dan tarikh bila beliau bercadang menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-8 bagi menggantikan tempat beliau.

“Ketidaktentuan peralihan kuasa ini menjadi polemik di kalangan rakyat dan ini menjejas kepercayaan pelabur-pelabur asing untuk melabur di negara kita ini. Ianya juga menimbulkan rasa curiga di kalangan ahli-ahli politik Pakatan Harapan sendiri terhadap keikhlasan Dr Mahathir untuk menyerahkan jawatan tersebut.”

Menjawab soalan pemberita kemudiannya, Dr Idris juga berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk turun semula ke jalan raya sekiranya Dr Mahathir gagal mengotakan janji beliau untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

Tidak hairanlah gesaan ini segera disambut oleh tiga hero Bersatu berikut:

  1. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang juga Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof menyebut: “Tun Dr Mahathir sedang giat melaksanakan agenda reformasi. Ada yang mudah, ada yang mesti diteliti dan ada yang khusus disebutkan dalam manifesto perlu ditimbal balik supaya ia boleh dipenuhi dengan lebih praktikal dan munasabah. Malah, Dr Mahathir sedang membina kembali asas yang betul dan kuat untuk memastikan pengganti beliau tidak dibebani masalah yang boleh membebankan bakal pemimpin yang mungkin dilihat belum mempunyai kebolehan sepenuhnya seperti kebolehan keseluruhan yang dipamerkan oleh seorang negarawan ulung bertaraf dunia. Tak sabar mereka ni. Pada mereka, agendanya semata-mata jawatan. Rasa kesal dengan kenyataan dan desakan kumpulan ini untuk kembali “demonstrasi di jalanan” semata-mata nak turunkan PM. Apa salah Tun terhadap usaha untuk mengembalikan kesejahteraan negara dan rakyat yang kita nak berdemonstrasi? Adakah ini satu reformasi yang dilaung-laungkan?”
  2. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri Abu Bakar Yahya menyebut: “Saya fikir semua pihak khususnya Otai Reformis 1998 ini tahu bahawa majoriti rakyat telah memilih serta memberi mandat kepada Pakatan Harapan sebagai kerajaan kerana Dr Mahathir diangkat sebagai Perdana Menteri. Itulah persetujuan yang dicapai oleh semua pimpinan parti komponen Pakatan Harapan sebelum ini. Mengapa tidak menghormati persetujuan yang telah dicapai ini? Ketika ini, Dr Mahathir sedang berusaha keras untuk memulihkan negara. Sepatutnya semua pihak perlu memberikan sokongan serta mengutamakan agenda nasional, bukannya kemaruk memaksa Perdana Menteri tetapkan masa dan tarikh peralihan kuasa dengan segera. Peralihan kuasa memang akan tetap berlaku, namun kaedahnya harus diambil kira agar ia tidak memberi kesan kepada rakyat dan negara. Mengapa ada pihak tidak sabar-sabar dalam perkara ini? Namun saya ada rasa skeptikal di sebalik desakan Otai Reformis ini. Apakah tindakan mereka itu mewakili suara rakyat atau mewakili ketua mereka semata-mata.”
  3. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang juga Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, yang menyebut: “Tidak ada sesiapa menafikan bahawa peralihan kuasa akan berlaku. Maka yang perlu kita lakukan ialah memastikan asas negara ini dibina semula dengan kukuh agar transisi itu nanti berlaku dengan baik. Jika proses membina semula negara itu dirosakkan oleh mereka yang tidak sabar ini, dan jika seterusnya ini menyebabkan proses transisi tidak lancar atau terus gagal, maka golongan yang gelojoh inilah yang wajar dipersalahkan. Dalam disiplin berorganisasi, kita orang Islam diajar jangan menjadi golongan musta’jilun atau golongan gelojoh. Maka jauhilah golongan musta’jilun sebegini. Sebaliknya dalam mengusahakan reformasi, sikap yang lebih baik ialah tadarruj, atau melakukan perubahan secara berperingkat dan tersusun.”

Pandangan saya sendiri adalah Otai Reformis 1998 sepatutnya tidak membuat gesaan berikut kerana ia hanya akan memburukkan keadaan, mewujudkan suasana ketidakpercayaan dan mencambahkan iklim persengketaan antara pemimpin Pakatan Harapan.

Anwar sendiri sering memaparkan gambar-gambar pertemuan rutin antara beliau dan Dr Mahathir, begitu juga dengan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dilangsungkan dari semasa ke semasa bagi membincangkan soal-soal kepartian.

Perkara mengenai tarikh peralihan kuasa ini tidak sepatutnya disuarakan secara terbuka sebaliknya hendaklah dibincangkan secara tertutup dalam pertemuan antara Anwar dan Dr Mahathir serta dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Malah, Anwar sendiri telah pernah menyebut di UKM pada 15 Mei lalu bahawa perbincangan berhubung peralihan kuasa berjalan dengan baik sambil menambah soal mengenai tarikh dan hal lain yang berkaitan biarlah dibincangkan oleh mereka berdua.

Bila Otai Reformis 1998 membuat gesaan terbuka mengenainya maka persepsi yang terbentuk adalah saluran perbincangan antara Anwar dan Dr Mahathir serta dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan gagal berfungsi seperti sewajarnya.

Atau lebih teruk lagi adalah persepsi bahawa PKR adalah golongan gelojoh. – 16 Jun, 2019.

*Dr Kamarul Zaman Yusoff adalah penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen