BN Sarawak perlekeh janji Dr Mahathir semak semula Perjanjian Malaysia 1963


Desmond Davidson

Sarawak dan Sabah kini kembali menuntut hak mereka yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, dan janji Pakatan Harapan untuk menyemak kembali kontrak politik itu dilihat hanyalah gimik meraih undi rakyat negeri Borneo yang sudah lama tertindas di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebelum ini. – Gambar EPA, 26 September, 2017.

PEMIMPIN Barisan Nasional (BN) Sarawak menolak janji Pakatan Harapan yang dibuat pada ceramah besar pertama mereka di Sarawak yang menampilkan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang sebagai penceramah utamanya.

Mengetuai penolakan itu adalah Timbalan Ketua Menteri James Masing yang memperlekeh janji Dr Mahathir untuk menyemak kembali Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan melakukan rundingan semula perjanjian itu yang didakwa melanggar dan “membentuk ketidakpuasan hati” dalam kalangan rakyat Sarawak dan Sabah.

“Saya terkejut Dr Mahathir cakap begitu,” kata Masing yang menerajui parti kedua terbesar dalam pakatan pemerintah negeri itu, Parti Rakyat Sarawak (PRS).

“Saya tak rasa dia ikhlas.

“Sepanjang 22 tahun dia menjadi perdana menteri, dia tak pernah ambil peduli perkara itu,” dakwa Masing.

“Dia enggan bercakap dengan kami mengenainya.”

Dr Mahathir, perdana menteri keempat negara ini berkhidmat pada 1981 hingga 2003 ialah pemimpin terlama memegang jawatan itu.

“Ketika dia berkuasa, dia tak mahu semak MA63. Hanya sekarang dia mahu kita (Sarawak dan Sabah) untuk undi PH, barulah dia kata dia akan semak.

“(Kerana itu) Saya tak rasa (Dr) Mahathir benar-benar maksudkan apa yang dia kata. Saya tak rasa ada keikhlasan daripada (Dr) Mahathir,” katanya.

Masing mengatakan janji semakan itu adalah “gimik politik untuk meraih undi orang Sarawak kepada PH”.

Katanya, berbeza sekali dengan beberapa perkembangan baik dalam pertemuan pemimpin Sarawak dengan Perdana Menteri Najib Razak.

“Ada perbincangan untuk mendapatkan semula kuasa di bawah MA63 yang sudah terhakis bertahun lamanya.

“Mesyuarat masih berlangsung.”

Walaupun dia mengakui mesyuarat itu mengambil masa, Masing berkata wujudnya mesyuarat itu adalah “maklum balas positif kerajaan persekutuan”.

Menyentuh mengenai kehadiran yang dianggarkan mencecah 2,000 di ceramah pada malam Sabtu lalu yang diadakan di Taman BDC, Kuching, Masing dengan sinisnya mendakwa ramai yang datang “hanyalah kerana mahu melihat setua mana dia (Dr Mahathir) sekarang”.

Ketua Pemuda Sarawak United People’s Party (SUPP) Tan Kai pula berkata Dr Mahathir boleh sahaja dengan mudah membatalkan Akta Pembangunan Petroleum 1974, salah satu halangan terbesar dalam hubungan Sarawak dan Sabah dengan Malaya jika dia mahu ketika dia menjadi perdana menteri.

“Dia mempunyai majoriti dua per tiga untuk 22 tahun. Jika dia rasa ia tidak adil untuk Sarawak selama ini, dia boleh sahaja membatalkan undang-undang itu,” kata Tan dan mengetepikan dakwaan Dr Mahathir yang bukan dia bertanggungjawab dalam merangka undang-undang untuk menjarah hasil kekayaan petroleum dan gas kedua-dua negeri Borneo itu selama ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga tidak “terbeli” dengan janji itu, malah menurutnya, Ketua Umum PH Anwar Ibrahim sendiri gagal memenuhi janjinya untuk membina 31 buah sekolah di negeri itu ketika menjadi menteri pendidikan.

Susulan maklum balas itu, DAP menyerang pemimpin BN dengan meminta mereka bertanya kepada parti masing-masing dan BN Sarawak “kerana berdiam diri dan tidak bersuara” untuk melindungi kepentingan negeri ketika Dr Mahathir menerajui pakatan pemerintah dan merupakan perdana menteri lantikan BN.

Kelvin Yii, pembantu khas kepada Ketua PH dan DAP Sarawak Chong Chieng Hen berkata apa yang dilakukan pemimpin BN sekarang hanyalah cuba meletakkan kesalahan kepada Dr Mahathir kerana dia sebahagian daripada pembangkang sekarang.

Tanya lagi mengapa mereka gagal untuk bertindak atau cuba membatalkan undang-undang yang bertentangan dengan kepentingan negeri sejak dari dulu,  ketika mereka mempunyai wakil dalam cabinet Dr Mahathir.

“Hakikatnya pada 1974, akta itu dirangka dan diluluskan memberikan hak 95% minyak kita kepada kerajaan persekutuan kita tanpa apa-apa bantahan daripada SUPP atau BN Sarawak,” kata Yii. – 26 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sekarang adalah masa matang untuk minta balik apa yang tidak mungkin dibahagi pada zaman dulu. Sekiranya peluang ini lepas, Sarawak akan tunggu sampai bila? Semangat perjuangan nampaknya agak lemah dikalangan politic di Sarawak, dulu begitu, sekarang juga?

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan