Kalau bukan pakar, jangan dakwa video ini palsu


SAYA baca di akhbar kenyataan seorang profesor tempatan mengenai mudahnya memuat turun aplikasi bagi membuat video palsu.

Profesor ini yang bidang kepakarannya ialah keselamatan rangkaian (network security) juga menimbulkan andaian seolah-olah aplikasi itu boleh menghasilkan video palsu yang sukar dikesan.

Pandangan saya, kalau sesuatu itu di luar bidang kepakaran adalah lebih baik jangan memberi pandangan yang sudah tentu akan menimbulkan kekeliruan.

Menghasilkan visual bergerak dan bersuara dengan beberapa pelakon bukan benda mudah, manakala menilai kepalsuan sesebuah visual bergerak adalah mudah bagi mata yang terlatih.

Bagi pakar dalam bidang visual bergerak, sebarang gangguan atau manipulasi pada sesuatu imej pasti akan dapat dikesan.

Mata yang terlatih akan menangkap dan memberi isyarat kepada pakar itu jika ada sesuatu yang diluar alami. Seperti pakar bahasa mengesan kesalahan ejaan dan tatabahasa dalam sesuatu ayat.

Ini kerana seseorang pakar visual bergerak akan membaca setiap pergerakan, suntingan, tata cahaya, tata rias dan bunyi untuk mencari maksud sesuatu visual.

Ada beberapa parameter yang diguna dalam siasatan untuk memastikan kesahihan sesuatu imej bergerak bagi individu terlatih.

Berikut adalah sebahagian daripadanya:

* Jumlah piksel dan resolusi pada imej latar dan imej yang disyaki diganggu. Cara mudah ialah kedua-dua imej ini akan diperbesarkan sehingga petak-petak piksel boleh dilihat. Jika tiada konsistensi maka ada kemungkinan imej itu telah diusik.

* Melihat pada sasaran tertentu. Sekali lagi imej dibesarkan. Mata terlatih akan tahu sudut-sudut yang perlu dilihat untuk mengesahkan sesuatu dakwaan. Antara sudut yang biasa dilihat ialah di leher. Jika ada “smudge” atau kekaburan, ia adalah konsisten dengan usikan pada imej asal.

Kedua-dua parameter di atas adalah bagi imej dalam format digital.

Namun terdapat juga kaedah-kaedah tradisional yang perlu disiasat, antaranya:

* Pencahayaan dan bayang-bayang. Imej terhasil dari kontras antara objek-objek di dalamnya. Mata terlatih akan mengesan kehadiran sumber cahaya, dan bayang-bayang pula perlu konsisten dengan sumber cahaya. Jika imej diusik, maka konsistensi akan terganggu.

* Penggunaan lensa. Mata terlatih akan mengenal pasti jenis lensa yang digunakan. Dan setiap pakar dalam bidang visual bergerak akan tahu karektoristik  dan herotan yang dihasilkan setiap lensa. Satu imej yang terhasil hanya boleh dihasilkan menggunakan satu lensa sahaja.

Tetapi, sekiranya imej itu dihasilkan daripada gabungan beberapa imej, seringkali herotannya tidak konsisten kerana ia mungkin dihasilkan dengan lensa-lensa berlainan.

* Titik fokal atau tumpuan fokus. Sekali lagi setiap lensa berbeza kedalaman fokusnya. Setiap objek di dalam imej yang asli akan mempunyai konsistensi kedalaman fokus. Objek yang berbeza jaraknya dari titik fokal akan berada dalam kedalaman fokus berbeza.

Selain aspek teknikal, pakar visual bergerak yang turut terlatih dalam bidang pengarahan juga akan melihat dari parameter alami.

Antaranya:

* Gerak tubuh, kelipan mata, tindakbalas anggota badan dan reaksi wajah kepada sekitaran.

* Tabiat seseorang apabila menyedari dia dirakam oleh kamera video. Antara masalah pelakon amatur, apabila menyedari dirinya dirakam, dia akan sering menoleh atau melihat ke arah kamera walaupun kamera itu tersembunyi.

Selain contoh parameter di atas, suntingan imej juga perlu disiasat. Seringkali suntingan bertujuan memendekkan visual tetapi adakalanya suntingan juga dibuat untuk menyembunyikan sesuatu. Apakah yang cuba disembunyikan?

Berhubung video dua lelaki dikatakan pegawai kanan timbalan menteri dan menteri persekutuan mengadakan hubungan seks sejenis, ramai memperlekehkan kualiti resolusi video.

Saya yakin video itu dirakam dalam resolusi yang tinggi mungkin setinggi 4K. Tetapi kaedah mampatan (compression) dan jenis mampatan yang digunakan menyebabkan resolusi rendah dan gambarnya tidak jelas.

Tujuan mampatan ini bagi membolehkan ia disebar menerusi WhatsApp. Tiada siapa mahu mengambil gambar dengan resolusi rendah.

Bagaimanapun, penilaian kesahihan ketulenan video itu perlu dibuat bersandarkan resolusi yang lebih tinggi dan sebaik-baiknya menggunakan resolusi asal.

Tiada siapa, tidak kira sama ada dia doktor perubatan atau pakar keselamatan rangkaian boleh dipercayai penilaiannya berdasarkan resolusi yang disebarkan menerusi WhatsApp.

Kesahihan dan ketulenan juga tidak boleh disahkan hanya dengan bersandarkan kepada satu parameter sahaja.

Oleh itu, mereka yang bukan pakar visual bergerak diharap berhenti memberi penilaian yang menimbulkan kekeliruan. – 15 Jun, 2019.

* Syed Azidi Aziz, pembaca The Malaysian Insight. Beliau adalah juga blogger yang memakai nama Kickdefella dan pemegang sarjana kesenian dalam bidang pengarahan filem dari Edinburgh College of Art, United Kongdom.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen