Tunjukkan bukti orang Kristian satu ancaman, kata Amanah 


Looi Sue-Chern

Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa mengatakan golongan ini hanya cuba menyebarkan doktrin ekstremis yang mampu menggugat keselamatan negara dan ia katanya perlu dihentikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2017.

TUDUHAN bahawa orang Kristian telah dihasut untuk “berperang” menerusi mesej yang berbaur hasutan perlu disokong dengan bukti, kata Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini.

Pada Ahad, satu kumpulan badan bukan kerajaan Islam membuat laporan polis mendakwa video Kristian pada tahun 2014 mengandungi mesej yang mengatakan orang Kristian “sedia untuk berperang”.

“Semua tuduhan ini perlu disertakan dengan bukti yang kukuh. Tanpa bukti yang kukuh, jelas mereka hanya melakukan provokasi dan mengancam keharmonian perpaduan yang sedia ada,” katanya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar. 

Dr Mujahid, yang diketahui bekerjasama dengan pihak gereja dan Kristian sejak beliau dalam PAS untuk menjadikan hubungan antara agama yang lebih baik, berkata tuduhan oleh kumpulan Islam tertentu terhadap Kristian bukan perkara baharu. 

“Mereka mengulangi isu ini sejak bertahun yang lalu, namun ianya tanpa sebarang bukti. Saya merasakan mereka ini menyebarkan doktrin ekstremis dan ia perlu dihentikan. 

“Dalam masa yang sama, sekiranya mereka boleh membawa bukti, barulah tindakan boleh diambil berdasarkan keselamatan negara.”

Video berdurasi tujuh minit bertajuk “Message to the Malaysian Church 2014” (Mesej kepada gereja di Malaysia 2014), itu sudah dipadam daripada Youtube berikutan laporan polis, yang dikatakan ia mengandungi unsur hasutan. 

Dalam laporan polis yang dibuat oleh Mohd Hafiz Kassim di Bayan Baru, Pulau Pinang, pengadu berkata mesej yang disampaikan adalah provokasi untuk mencetuskan peperangan di Malaysia. 

Katanya, dia mengesyaki video terbabit adalah hasil kerja “pelampau Kristian” yang mengajak penganutnya memulakan perang untuk menyerang dan mengambil alih negara.

Hasil turut membuat laporan berhubung satu posting pada April tahun lalu yang bertajuk “Rise and Speak - Pastor Afeef Halasah dari Jordan” dalam laman web Christianity Malaysia. 

Dia agak terganggu dengan kenyataan pendakwah asing yang membuat kenyataan seperti “menyerang negara ini dengan kerajaan tuhan”, dan mendakwa ia berbaur ancaman terhadap keselamatan negara. 

Laporannya turut menjelaskan berkenaan speaker DAP Selangor Hannah Yeoh dan naib presidennya Ariffin Omar berhubung kenyataan mereka mengenai Kristian sebelum ini. 

Exco Hal Ehwal Agama Pulau Pinang Abdul Malik Abul Kassim berkata pihak berkenaan hanya mengunakan isu dan bahan yang dikitar semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2017.

Ketika diminta mengulas mengenai laporan polis dan dakwaan NGO Islam bahawa Islam sedang diancam, Exco Hal Ehwal Agama Pulau Pinang Abdul Malik Abul Kassim berkata, Islam merupakan agama yang kuat.

NGO terbabit katanya hanya menggunakan “isu dan bahan yang dikitar semula”. 

“Masyarakat Islam di Malaysia disokong oleh banyak agensi, undang-undang dan yang penting pendidikan berterusan untuk membina ketahanan dan pembangunan berhubung pengetahuan terhadap Islam terutamanya di Pulau Pinang.

“Kekuatan agama Islam bukan sahaja berdasarkan kepercayaan, tetapi juga berdasarkan pemikiran dan sains,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Presiden Kristian untuk Keamanan dan Harmoni di Malaysia, Pendeta Wong Kim Kong menyedari bahawa Malaysia “sangat sensitif” dalam konteks berbilang kaum dan agama.

Katanya, perlu ada lebih penerimaan agama apabila merujuk kepada amalan beragama.

Bagaimanapun, untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian yang sedia ada, rakyat perlu mengelakkan memetik pandangan luar mengenai amalan beragama di negara ini.

“Kita tidak boleh membenarkan pandangan masyarakat asing menjadi perhatian kita. Kita perlu melihat kepada konteks rakyat Malaysia, tentang bagaimana untuk mengaitkan antara satu sama lain,” katanya.  – 26 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen