Jawatankuasa pilihan khas jawatan utama belum ada kuasa, kata PM


Ragananthini Vethasalam

Jawatankuasa pilihan khas Parlimen tak boleh dikuatkuasakan lagi kerana ia perlukan pindaan perlembagaan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Jun, 2019.

PELANTIKAN jawatan utama kerajaan akan dilakukan dengan cara lama buat ketika ini, kerana jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenainya memerlukan sokongan dua pertiga ahli dewan untuk berkuatkuasa sepenuhnya, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, kaedah lama pelantikan yang berdasarkan prerogatif perdana menteri akan dikekalkan sementara ini.

“Mereka (jawatankuasa) tak boleh dikuatkuasakan lagi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi hari ini.

Dr Mahathir berkata peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda sebelum jawatankuasa itu boleh dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Untuk mengubahnya kita perlukan majoriti dua pertiga dan kerajaan tidak ada majoriti dua pertiga.”

Ditanya sama ada Kabinet perlu dirujuk terlebih dahulu sebelum pelantikan itu, Dr Mahathir berkata beliau tidak diperlukan berbuat demikian.

“Saya tidak diperlukan untuk berunding dengan Kabinet. Saya boleh tanya pandangan ramai orang dan buat keputusan berdasarkan merit calon.”

Isu itu timbul selepas pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilakukan oleh Dr Mahathir tanpa perbincangan dengan Kabinet dan jawatankuasa Parlimen – 11 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen