13 penduduk Orang Asli mati kerana air tercemar, kata ketua kampung


Kematian 13 penduduk masyarakat Orang Asli Bateq di Gua Musang sejak lebih sebulan lalu dikaitkan dengan sumber air yang disyaki tercemar akibat perlombongan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2019.

KEMATIAN misteri 13 penduduk masyarakat Orang Asli Bateq di Gua Musang sejak lebih sebulan lalu dikaitkan dengan sumber air yang disyaki tercemar akibat perlombongan.

Kira-kira 50 penduduk dari Kampung Kuala Koh itu juga dibawa menerima rawatan dan tiga daripadanya masih dalam keadaan kritikal, lapor Astro Awani.

Laporan itu memetik kenyataan ketua kampung, Mamat Pokok yang berkata mereka hidup dalam kebimbangan kerana seorang demi seorang saudara mereka meninggal dunia.

“Sejak awal Ramadan lalu, penduduk mula diserang penyakit. Kami syak ia berpunca daripada sumber air tandak yang tercemar.

“Sumber air tandak kami tercemar dengan sisa perlombongan bijih besi yang beroperasi sejak empat tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, tiga yang kritikal dibawa ke Hospital Kuala Krai dan 14 lagi ke Hospital Gua Musang.

Seramai 30 penduduk lagi dilaporkan dibawa ke Klinik Kesihatan Aring 1 dan Chiku 03.

Pada 2015, sekumpulan penduduk Orang Asli di Kuala Betis, Gua Musang turut dilaporkan menerima rawatan kerana keracunan dikaitkan dengan sumber air. – 8 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen