China mula import durian beku dari Malaysia


Pekerja sedang membekukan durian di kilang memproses durian di Raub, Pahang sebelum ia dieksport ke luar negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2019.

CHINA sudah mula mengimport durian bulat sejuk beku (frozen whole durian) dari Malaysia, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin.

Katanya, langkah itu membuka pasaran lebih luas bagi penanam durian di negara ini dan akan meningkatkan pendapatan mereka.

Bagaimanapun, kenaikan harga tidak diramal berlaku kerana terdapat ramai yang menanam durian secara komersil.

“Memandangkan banyak ladang durian dibuat secara komersil, kami menjangkakan hasilnya meningkat dan oleh itu harga akan stabil, walaupun eksport akan meningkat,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Sim berkata keputusan China menerusi (GACC) berkuat kuasa semalam, 30 Mei.

Sebelum ini, Malaysia hanya boleh mengeksport isi durian beku ke China.

Sim berkata, keputusan China itu susulan memorandum antara Putrajaya dan Beijing yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Ogos tahun lepas.

Beliau berkata keputusan itu akan meningkatkan eksport durian negara yang kini sebanyak 17,000 tan, yang kebanyakannya untuk Singapura, Thailand, Hong Kong, Australia, Amerika Syarikat dan China.

Jumlahnya adalah 5.8% daripada pengeluaran durian di negara ini.

Katanya, China mengimport 300,000 tan durian setiap tahun, kebanyakannya dari Thailand. – 31 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen