Vokalis The Swallows, Kassim Selamat meninggal dunia


Kassim menggantikan Allahyarham Ahmad Daud sebagai penyanyi utama kugiran tersebut yang pada awalnya dikenali dengan lagu Si Manis 17. – Gambar ihsan Facebook, 26 Mei, 2019.

PENYANYI era 60-an yang popular dengan lagu La Obe dan Nga lompak AGo Go, Allahyarham Kassim Rahmat meninggal dunia akibat sakit tua hari ini.

Kassim, 84, atau lebih dikenali sebagai Kassim Selamat menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.30 petang di rumahnya di Yishun.

Penyanyi utama Kumpulan The Swallows itu, meninggalkan seorang isteri Radiah Hadar dan empat orang anak.

Anak perempuannya Kasmawati Kassim berkata bapanya menghidap sakit dementia sejak lapan tahun yang lalu.

“Ibu yang setia menjaga bapa di rumah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Kasmawati jenazah bapanya akan dikebumi pada esok pagi di Pusara Aman, Lim Chu Kang di sini.

Dilaporkan Kassim menggantikan Allahyarham Ahmad Daud sebagai penyanyi utama kugiran tersebut yang pada awalnya dikenali dengan lagu Si Manis 17.

Kumpulan The Swallows yang pernah terbabit dalam persembahan muzikal Suzana@60-an di Istana Budaya pada tahun 2006, turut pernah mengiringi Allahyarham Biduanita Rafeah Buang.

Kumpulan itu mempunyai keunikkannya tersendiri kerana mereka turut mempersembahkan lagu dalam bahasa Bawean.

Selain lagu  La Obe dan Nga lompak AGo Go, lagu-lagu nyanyian kugiran tersebut termasuklah Angkok Angkok Bilis, La Karebna, Leh Paju Molle dan La Ngomber. – Bernama, 26 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen