Putrajaya hina hak asasi manusia dengan notis sita harta, kata Jho Low


TINDAKAN Pejabat Peguam Negara menyerahkan notis sita harta kepada ibu Low Taek Jho adalah pelanggaran terhadap “proses adil dan mengikut undang-undang” dan hak asasinya, kata peguam kepada ahli perniagaan dalam pelarian itu.

Semalam, peguam Evelyn Goh Gaik Ewe memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beliau diberikan hak oleh anak guamnya untuk menerima notis sita harta itu bagi pihak ibu Low.

Peguam itu berkata anak guamnya pada masa ini berada di luar negara.

“Prosiding hari ini (Khamis) mendedahkan cubaan kerajaan untuk menyita aset dengan melanggar peraturan dan prosedur bertujuan melindungi hak asasi individu,” kata peguam Low dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh syarikat perhubungan awamnya yang berpangkalan di Sydney.

“Sekali lagi kerajaan menunjukkan penghinaan kepada proses undang-undang yang adil.”

Notis oleh Pejabat Peguam Negara itu turut membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor, tiga anak mereka dan beberapa individu lain dan syarkat.

Goh di senarai ke-13 daripada 18 responden yang dinamakan dalam permohonan itu.

Najib sebagai responden pertama Aiman Ruslan (responden ke-8), Ng Chong Hwa (responden ke-14) dan wakil syarikat Senijauhar Sdn Bhd (responden ke-7) hadir pada prosiding mahkamah. – 18 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen