Lokasi ibu negara baharu Indonesia diputuskan tahun ini


Menteri Perancang Bandar Indonesia Bambang Brodjonegoro berkata kerajaan sedang memuktamadkan kajian supaya keputusan dapat dibuat pada tahun ini dan projek pecah tanah dimulakan pada 2021. – Gambar AFP, 15 Mei, 2019.

INDONESIA akan memutuskan lokasi ibu negara baharunya tahun ini dengan sasaran ia akan siap pada 2024, kata seorang menteri hari ini.

Keputusan untuk memindahkan ibu negara asal iaitu Jakarta diumumkan dua minggu lalu selepas Presiden Joko Widodo meluluskan rancangan itu.

Kerajaan sedang memuktamadkan kajian supaya keputusan dapat dibuat pada tahun ini dan projek pecah tanah dimulakan pada 2021, kata Menteri Perancang Bandar Bambang Brodjonegoro.

“Kami sedang menyeleraskan untuk memuktamadkan kajian supaya kami boleh membuat keputusan dalam tahun ini, dan supaya proses pembinaan dapat dimulakan dalam tempoh setahun dua lagi,” katanya.

“Jadi, kami berharap ibu negara baharu siap pada 2024 sebagai pusat kerajaan.”

Jakarta mempunyai kira-kira 30 juta penduduk dan sering dianggap sebagai pusat bandar paling sesak di dunia.

Kejadian banjir saban tahun akibat pengekstrakan air bawah tanah juga menjadikan Jakarta salah sebuah bandar paling cepat tenggelam.

Awal bulan ini, presiden melawat Kalimantan Timur dan Tengah di pulau Borneo untuk meninjau lokasi ibu negara yang baharu.

Jakarta yang terletak di Pulau Jawa akan kekal sebagai pusat kewangan negara, kata kerajaan. – AFP, 15 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen