-2.jpg)
PENGUMUMAN Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Hamzah Zainuddin semalam yang Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) ditutup sementara atas alasan penambahbaikan menunjukkan kantung negara semakin berkurangan.
KR1M adalah salah satu daripada rangkaian produk 1Malaysia di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Alasan penambahbaikan tersebut adalah sesuatu yang meragukan kerana penutupan sementara ini berlaku kepada hampir kesemua premis KR1M di seluruh negara sedangkan penambahbaikan biasanya dibuat secara berperingkat tanpa menjejaskan operasi harian semua premis KR1M.
Kenyataan Hamzah tersebut bertentangan dengan kenyataan Mydin Mohamed Holdings Sdn Bhd pada akhir Julai lalu yang menyatakan mereka mengalami kerugian besar. Seharusnya operasi KR1M diteruskan jika kerajaan mampu membantu meringankan beban Mydin.
Justeru, adalah jelas bahawa faktor sebenar penutupan sementara ini adalah disebabkan kekeringan kantung negara yang berpunca daripada kelemahan tadbir urus pentadbiran kleptokrasi Najib terutama peningkatan skandal-skandal korupsi yang berlaku dalam negara termasuk yang melibatkan skandal berskala mega 1MDB.
Ekonomi negara yang meruncing pada hari ini adalah disebabkan kejatuhan nilai ringgit yang didorong oleh kehilangan kepercayaan pelabur terhadap integriti tadbir urus negara sepertimana kenyataan mantan Govenor Bank Negara Akhtar Aziz bahawa nilai mata wang negara tidak akan pulih selagi isu 1MDB tidak diselesaikan.
Isu 1MDB tidak akan selesai selagi mana tindakan undang-undang tidak diambil terhadap individu-individu yang bertanggungjawab terutamanya MO1 yang disahkan oleh Menteri Dalam Negeri Abdul Rahman Dahlan sebagai perdana menteri walaupun beliau cuba menutup skandal 1MDB ini dengan bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump baru-baru ini.
Pemergian perdana menteri ke AS baru-baru ini dengan mengumumkan persetujuan untuk melabur di sana sekitar AS$24 bilion (RM100 bilion) bagi mengukuhkan ekonomi AS adalah “direction not negotiation”.
Lebih malang lagi apabila kerajaan juga akan menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak AS$4 bilion (RM17 bilion) bagi tujuan pelaburan, sedangkan tujuan tersebut hanya helah bagi menutup skandal 1MDB yang sedang menjerut kepimpinan Najib.
Seharusnya wang sebesar itu diuruskan untuk memulihkan ekonomi negara bagi membantu meringankan beban rakyat.
Penutupan sementara KR1M ini sudah pasti menambah beban hidup rakyat berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40) yang bergantung kepada barangan murah yang ditawarkan di KR1M.
Selain itu, perniagaan industri kecil dan sederhana yang bergantung kepada pemasaran produk mereka kepada KR1M juga akan terjejas dan ini akan meningkatkan masalah pendapatan dan pengangguran rakyat.
Justeru, kebaikan produk 1Malaysia kepada rakyat seperti KR1M mula menunjukkan kesan buruk kepada rakyat akibat kelemahan tadbir urus negara terutama kepincangan 1MDB. – 21 September, 2017.
* Faiz Fadzil adalah timbalan ketua Pemuda Amanah.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen