-2.jpg)
PIHAK kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan perlu mengambil langkah yang lebih holistik dan menyeluruh bagi mengatasi masalah berkaitan pelajar yang dibuang sekolah dalam negara kita.
Ini susulan pendedahan Menteri Pendidikan sendiri baru-baru ini bahawa tujuh suspek yang berusia antara 11 hingga 18 tahun yang terlibat dalam tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur pernah dibuang sekolah atas pelbagai masalah disiplin.
Pihak ibu bapa khususnya perlu memandang isu ini dengan serius kerana ia melibatkan masa depan anak-anak mereka sendiri.
Seorang kanak-kanak atau remaja yang dibuang sekolah akan menghadapi satu tekanan yang hebat dari segi mental dan emosi kerana mereka mengganggap tindakan disiplin itu seolah-olah mesej bahawa mereka jahat, tidak mempunyai masa depan lagi serta tidak akan disukai oleh masyarakat sekeliling.
Sekiranya isu ini tidak diatasi dengan baik, semua anggapan negatif yang wujud di minda kanak-kanak dan remaja berkenaan akan menyebabkan mereka putus asa, kecewa, marah dan lebih teruk lagi menyebabkan mereka mudah terjebak ke kancah aktiviti kurang sihat seperti pengaruh dadah dan jenayah.
Sekiranya ini dibiarkan berlaku, sudah pasti ia akan menjejaskan kehidupan golongan berkenaan dan turut akan memberi kesan kepada kehidupan orang sekeliling.
Oleh itu, langkah proaktif mesti diambil bagi memastikan setiap pelajar yang dibuang sekolah tidak terus hanyut dan tercicir daripada arus kehidupan normal serta dari aspek pendidikan.
Ibu bapa perlu duduk berbincang dengan anak-anak yang menghadapi masalah berkenaan serta mengenal pasti punca mereka dibuang sekolah. Sekiranya masalah terbabit tidak dapat mereka selesaikan, pihak ketiga seperti kaunselor boleh dilibatkan.
Setelah masalah terbabit berjaya diselesaikan, ibu bapa mesti berusaha memastikan anak-anak mereka sambung kembali belajar. Dalam apa situasi pun, aspek pendidikan anak-anak yang dibuang dari sekolah tidak seharusnya dipinggirkan kerana kehidupan mereka masih panjang.
Pihak Kementerian Pendidikan mesti menghulurkan segala jenis bantuan yang perlu bagi membantu pelajar-pelajar yang dibuang sekolah dengan menyediakan saluran alternatif kepada mereka untuk mendapatkan bantuan serta arah hidup seterusnya.
Mereka yang dibuang sekolah tidak seharusnya dibiarkan bersendirian menghadapi segala masalah yang berlaku tanpa bantuan kerana usia mereka yang masih muda serta tidak memahami masalah hidup. Adalah penting untuk semua pihak membantu mereka daripada terus hanyut tidak tentu hala. – 21 September, 2017.
* Dr. Muzaffar Syah Mallow, pensyarah kanan, Universiti Sains Islam Malaysia.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen