Usul ketua menteri Melayu: Kewibawaan jadi keutamaan, bukan warna kulit


SAYA ada terbaca satu rencana yang melontarkan idea ketua menteri Melayu pertama untuk Pulau Pinang. Saya faham jika idea tersebut datangnya daripada kelompok parti berasaskan kaum, Umno/Barisan Nasional (BN). Tetapi, apabila ia lahir daripada minda seorang yang telah menyekutukan dirinya dengan gerakan politik bukan Umno, saya merasakan ia janggal.

Mungkin pada hemat Hasmi Hashim, ia adalah satu idea baharu yang boleh ditawarkan untuk meraih undi kelompok Melayu. Betul, politik itu berkait soal kuasa tetapi pada saya politik itu turut menggalas beban kebertanggungjawaban moral untuk mendidik masyarakat bersamanya.

Atas asbab memenuhi kebertanggungjawaban moral itu, seharusnya kita yang berdiri atas platform politik berbilang etnik ini tidak bermain di atas garis etnik itu lagi. Hari ini, kita sepatutnya mengajak rakyat untuk berfikir bukan lagi atas pertimbangan warna kulit.

Idea-idea baharu politik perlu membawa rakyat untuk cakna terhadap persoalan apakah seseorang individu itu mempunyai wibawa politik untuk menjadi seorang ketua eksekutif di sesebuah negeri itu? Bagaimana rancangannya untuk memacu kemajuan sama ada dalam konteks pembangunan fizikal dan juga pembangunan ekonomi?

Apa perancangannya untuk memastikan kehidupan rakyat terus sejahtera dan kebajikan rakyat kekal terbela? Kita juga sebenarnya memegang amanah untuk membina kefahaman rakyat agar membenci perbuatan-perbuatan yang boleh membinasakan negeri seperti gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh pembesar negeri.

Daripada kita menawarkan idea-idea politik kosmetik ini, adalah lebih baik jika kita mendidik masyarakat mengenai peri pentingnya memilih pemimpin yang akan turut menjaga kelestarian alam.

Banyak lagi aspek perubahan atau anjakan pemikiran yang boleh dilontarkan sebagai antara pendidikan politik yang boleh dihidangkan kepada masyarakat. 

Penulis tersebut juga membuat perbandingan dengan negara jiran Singapura. Kononnya perlantikan Presiden Singapura berbangsa Melayu itu seperti peluru kapur, kampung tetap tergadai juga. Nah, ini pemikiran tipikal Umno/BN. 

Di Malaysia, Umno/BN sentiasa menjual politik ketuanan bangsa ini. Akhirnya, segala bentuk kecurangan pentadbiran disembunyikan di sebalik retorik mengekalkan kuasa Melayu.

Menggunakan isu Presiden Singapura berbangsa Melayu sebagai contoh dalam karangannya mencerminkan minda penulis tersebut yang tidak cukup luas.

Seorang kenalan saya, seorang Melayu di Pulau Pinang mengutarakan pandangan begini: Contoh dinamik Singapura yang mempunyai presiden Melayu dan perdana menteri Cina adalah pada ekonomi serta dasar yang pro-rakyat. Contohnya, polisi rumah mampu sewa, tidak menjual tanah dan lain-lain dalam menangani keadaan tawaran yang berlebihan.

Polisi kewangan mereka lebih menarik. Kerajaan Singapura melalui Temasik menubuhkan bank pembangunan untuk menjana pembangunan infrastruktur awam secara material, bukan “cakap kosong”.

Tambah kenalan saya lagi: “Sejujurnya saya tak nampak idea politik ekonomi pun selain logik, “ketua menteri Melayu sebab dah ramai Melayu dalam DAP”.

Saya bertanyakan pandangan rakan saya yang berbangsa Cina mengenai rencana Hasmi ini. Perkataan pertama yang keluar dari mulutnya adalah: “Jangan ingat Cina itu besar di Singapura. Keluarga Lee pro British. Dalam 70-an, hampir semua pendidikan Cina sudah dihapuskan”.

Terkejut? Saya juga terkejut dengan kata-kata rakan saya itu, kerana minda kita telah diselewengkan yang di Singapura adalah ketuanan Cina.

Jika penulis menyebutkan mengenai Ketua Menteri Pulau Pinang boleh diganti dengan Melayu, bagaimana pula reaksinya jika ada yang menulis bahawa orang Cina juga boleh menjadi menteri besar?

Lihat hujah bersandar kaum ini tidak akan habis dan ia akan melahirkan polemik demi polemik.

Oleh demikian, persoalan siapakah yang menerajui pemerintahan negeri ini tidaklah boleh disempitkan dengan persoalan warna kulit semata-mata. Ia harus didasari dengan kewibawaan sosok tersebut.

Kita tidak akan mencapai kematangan bernegara, jika tema perubahan kita adalah untuk terus mengekalkan rejim pemerintahan neo-kolonial yang represif berasaskan kepada bangsa. Perubahan itu bukan setakat menggantikan Umno/BN secara fizikal bahkan turut memerlukan kita menghentikan semua khurafat politik yang ditaja oleh mereka.

“Politik seharusnya bisa mendidik, pemimpin mestinya jadi teladan publik,” begitulah pesan Najwa Shihab, seorang wartawan televisyen di Indonesia.

Untuk itu, perubahan juga harus mendidik dan memperkasakan pemahaman politik masyarakat. Sesungguhnya kerja kita masih banyak dan panjang. – 20 September 2017

* Ahmad Anwar Asyraf pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen