Audit dedah SPR bantu BN pindah pengundi tentera sebelum PRU14


Chan Kok Leong

Laporan audit mendedahkan beberapa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya dan Kementerian Pertahanan bersekongkol memindahkan pengundi tentera di kawasan tertentu sebelum PRU14 Mei lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2019.

PEGAWAI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Pertahanan (Kementah) bersekongkol membina empat kem tentera sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 untuk membantu Barisan Nasional (BN), dedah laporan audit urus niaga pertukaran tanah yang kini dalam siasatan pihak berkuasa.

“Beberapa kem tentera termasuk di Bera, Segamat, Paloh dan Hutan Melintang dibina bagi tujuan politik untuk memindahkan pengundi sebelum PRU14,” kata laporan itu yang dilihat The Malaysian Insight.

Selain itu, beberapa pegawai SPR turut terlibat menasihati BN mengenai persiapan di kem berkenaan sebelum pengundi tentera boleh dipindahkan menjelang suku ketiga 2017.

Nama pengundi perlu ada dalam senarai daftar pengundi sebelum suku ketiga tahun itu untuk layak mengundi dalam PRU14 pada Mei tahun lalu.

Maklumat itu terkandung dalam laporan audit oleh bekas ketua audit negara Ambrin Buang.

Ambrin ditugaskan oleh pentadbiran Pakatan Harapan untuk meneliti dan menyiasat isu-isu tadbir urus, perolehan dan kewangan negara yang dilakukan oleh kerajaan sebelumnya.

Laporan urus niaga tukar tanah, yang berlaku antara Julai dan Disember tahun lalu, akan dikeluarkan Khamis ini apabila Menteri Pertahanan Mohamad Sabu membentangkannya di Dewan Negara.

Seorang pegawai tentera udara sedang mengundi, dilaporkan terdapat usaha digerakkan kerajaan Barisan Nasional untuk memastikan kemenangan mereka di kawasan tertentu dengan memindahkan anggota tentera dan keluarga mereka ke empat kem tentera sebelum PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2019.

Mohamad mendedahkan pada Februari lalu kerajaan rugi RM500 juta susulan urus niaga tukar tanah itu.

Laporan audit itu menyebut beberapa pegawai SPR melawat kem Hutan Melintang tiga kali pada 2017. Laporan itu turut menyebut kem Hutan Melintang masih dalam pembinaan.

Lawatan tersebut bertujuan memastikan semua perkara mustahak sudah ada sebelum pengundi tentera boleh dipindahkan ke kem baharu.

Laporan itu juga menyebut SPR memindahkan 1,536 pengundi dari kem tentera di Tambun dan Kamunting di Perak ke Hutan Melintang, yang terletak dalam kawasan parlimen Bagan Datuk.

Kawasan itu diwakili Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang juga bekas timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan.

Selain Hutan Melintang, laporan itu memperincikan permintaan daripada setiausaha politik menteri pertahanan pada 2016 untuk sebuah kem tentera dan berek tentera dibina di Paloh, yang terletak dalam kawasan parlimen Sembrong.

SPR memindahkan 1,536 pengundi dari kem tentera di Tambun dan Kamunting di Perak ke Hutan Melintang, yang terletak dalam kawasan parlimen Bagan Datuk yang diwakili Ahmad Zahid Hamidi.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 8

Menteri pertahanan pada masa itu ialah Hishammuddin Hussein, yang mengekalkan kemenangannya di Sembrong pada PRU14 setahun lalu.

Kem di Paloh dibuat untuk menambah sokongan pengundi di kerusi negeri Paloh. Pada PRU13, BN menang tipis kerusi itu dengan 103 undi.

Namun BN gagal apabila calon Pakatan Harapan Sheikh Umar Ali dari DAP menang dengan 783 undi.

Walaupun laporan audit itu mengenal pasti empat kem – Bera, Segamat, Paloh dan Hutan Melintang – yang diistilahkan sebagai projek politik, ia juga menyebut ada beberapa lagi urus niaga tukar tanah untuk keuntungan komersial.

Ada 10 urus niaga yang datang daripada cadangan syarikat swasta untuk membina kem sebagai ganti mendapatkan tanah tertentu yang dimiliki oleh Kementah bagi tujuan pembangunan hartanah.

Keseluruhannya ada 16 urus niaga, dengan lima disenaraikan sebagai siap, dua dalam pembinaan, satu dibatalkan sementara yang lain masih pada peringkat kelulusan. – 8 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Menteri Pertahanan mesti mengambil tindakan displin ke atas pegawai-pegawai tentera yang bersekongkol dengan SPR melakukan kerja jahat Umno- BN ini. Syukor Allah tidak mengizinkan kerja jahat ini dengan membuka hati rakyat Malaysia menolak Umno dari tampuk pemerintahan.

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Masfaliza masmuda · Ulasan