Mazlan Bujang dilantik pengerusi Bersatu Johor 


Pelantikan bekas exco Johor, Mazlan Bujang disahkan oleh pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2019

MAZLAN Bujang dilantik sebagai pengerusi Bersatu Johor yang baharu berkuat kuasa 25 Mei ini, kata setiausaha agung parti Marzuki Yahya.

Mazlan, yang juga Adun Tebrau, menggantikan Osman Sapian yang letak jawatan menteri besar baru-baru ini.

“Adalah diharapkan dengan perlantikan ini, YB Mazlan dapat menyumbangkan idea dan tenaga serta menjalankan tugas yang diamanahkan ini dengan penuh komitmen dan jujur demi kepentingan parti,” kata Marzuki, dalam satu kenyataan media hari ini.

Awal hari ini, Mazlan dipetik berkata beliau sudah menerima surat pelantikan daripada Marzuki.

Beliau juga berjanji akan bekerjasama dengan Menteri Besar Johor yang baharu, Dr Sahruddin Jamal.

Sahruddin menggugurkan Mazlan daripada barisan exco negeri selepas beliau mengambil alih jawatan menteri besar daripada Osman.

Osman letak jawatan pada 8 April ketika ada laporan prestasinya tidak memuaskan hati istana Johor.

Perletakan jawatannya mencetuskan perselisihan faham antara Putrajaya khususnya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan istana Johor berhubung pelantikan menteri besar.

Dalam pada itu, Marzuki menjelaskan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tidak pernah menjadi Pengerusi Bersatu Johor.

Beliau sebaliknya adalah Pengerusi Pakatan Harapan Johor, katanya. – 30 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen