.jpg)
AGENDA utama melayu hari ini ialah melawan pemimpin yang rasuah dan khianat kepada amanah bangsa Melayu.
Hari ini apabila Tan Sri Muhammad Taib kembali sertai Umno dengan alasan agenda melayu, jelas pimpinan Najib sudah amat terdesak dan akan menggunakan alasan bangsa Melayu dan agenda Melayu.
Hisbah ingin sekali lagi menegaskan bahawa masalah utama bangsa Melayu hari ini adalah pemimpin bangsa Melayu yang rasuah dan salahguna kuasa mereka untuk mengejar kemewahan dengan jalan rasuah, pecah amanah dan mencuri harta negara (al ghulul).
Hisbah sering mengingatkan bangsa Melayu kepada hadis Rasululllah SAW sendiri yang menyatakan secara jelas bahawa dugaan paling besar umatnya khususnya di akhir zaman ialah dugaan harta yakni rasuah.
Amat malang dan salah bagi bangsa Melayu hari ini sekiranya terperangkap dengan agenda pemimpin-pemimpin rasuah di dalam Umno hari ini yang mahu menidakkan hakikat ini dan tidak mahu meletakkan agenda utama bangsa ini ialah melawan rasuah kerana mereka sendiri terpalit dengan gejala rasuah.
Malah seluruh dunia tahu pemimpin bangsa Melayu yang berkuasa di dalam parti Umno itu sendiri yang pecah amanah dan khianat harta negara dalam jumlah yang paling besar.
Tujuh tahun saya sendiri di dalam parti Umno dan cuba membawa agenda melawan rasuah tetapi jelas pemimpin-pemimpin rasuah ini tidak pernah serius dan jujur dalam perjuangan melawan rasuah kerana mereka sendiri perasuah.
Justeru Hisbah ingin ingatkan bangsa Melayu hari ini agar tidak terperangkap dengan muslihat pemimpin-pemimpin rasuah di dalam Umno yang menggunakan alasan agenda Melayu untuk melarikan perhatian bangsa Melayu kepada isu nombor satu bangsa ini iaitu pemimpin yang rasuah dan mencuri harta negara.
Kita tidak nafikan bangsa Melayu hari ini ada beberapa masalah dan cabaran selain rasuah tetapi hakikat dan realitinya hari ini masalah dan cabaran utama bangsa Melayu ini ialah menghadapi pemimpin yang rasuah yang terus kekal berkuasa menutup rasuah mereka, melindungi orang-orang yang bersekongkol dengan mereka dalam melakukan jenayah rasuah dari dihukum dan menyebabkan negara hilang maruah dan rakyat hidup semakin melarat.
Hisbah sekali lagi mengingatkan bangsa Melayu agar meletakkan agenda melawan pemimpin rasuah sebagai agenda utama mereka kerana inilah cabaran nombor satu bangsa melayu hari ini. – 17 September, 2017
* Mohamad Ezam Mohd Nor ialah Pengerusi Hisbah
* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen