Sultan Johor perlu henti ganggu pentadbiran negeri, kata Muhyiddin


Bukan tak boleh campur tangan, ada masanya boleh, tetapi yang boleh ganggu proses pentadbiran kerajaan negeri elok dihentikan, kata Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2019.

CADANGAN Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk berdamai dengan Putrajaya adalah satu cadangan yang baik tetapi Istana Johor perlu berhenti mengganggu urusan pentadbiran negeri, kata Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata Sultan Ibrahim perlu mengakui bahawa ketegangan antara Istana Johor dan Putrajaya berpunca daripada baginda jika mahu hubungan itu pulih.

“Sultan perlu akui bahawa baginda melakukan beberapa perkara yang mencetuskan rasa tidak senang.

“Baginda juga perlu berhenti campur tangan dalam hal ehwal negeri.

“Bukan tak boleh campur tangan, ada masanya boleh, tetapi yang boleh ganggu proses pentadbiran kerajaan negeri elok dihentikan,” Muhyiddin dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata pergeseran antara Putrajaya dan Istana Johor tidak bagus untuk negara.

“Saya cadangkan menteri besar Johor dan kerajaan negeri duduk berbincang dengan baginda mengenai apa yang perlu dibuat dan apa yang perlu dijelaskan. Kita bekerja sebagai rakyat Malaysia dan perkara boleh diselesaikan,” katanya.

Beliau mengulas cadangan Sultan Ibrahim supaya Putrajaya dan kerajaan negeri adakan perbincangan serta menyelesaikan perbezaan pendapat berikutan rombakan dalam barisan exco negeri susulan pelantikan menteri besar baharu. – 25 April, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen