Kekalkan semangat persekutuan Malaysia


SELEPAS 54 tahun pembentukan gagasan Malaysia, tarikh 16 September disambut bagi memperingati hari yang paling bersejarah dalam perjalanan negara kita.

Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak seharusnya melupakan sejarah pembentukan gagasan Malaysia lebih setengah abad yang lalu.

Usaha ke arah pembentukan gagasan Malaysia dimulakan oleh para pemimpin terdahulu tanah air kita yang diketuai Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang juga merupakan perdana menteri Malaysia yang pertama.

Jika diimbau kembali dalam sejarah, usaha pembentukan Malaysia ini dilakukan diatas beberapa sebab.

Di antara sebab utama pembentukan gagasan Malaysia ialah untuk membebaskan beberapa negeri di rantau Asia Tenggara pada ketika itu yang masih dijajah pihak kolonial British.

Langkah pembentukan gagasan baru juga diambil bagi membendung penyebaran pengaruh komunis yang dilihat masih kuat ketika itu serta juga sering mengunakan alasan penjajahan bagi menyebarkan pengaruh komunis mereka.

Sebab lain pembentukan Malaysia ialah untuk membentuk sebuah gagasan yang terdiri daripada beberapa negeri supaya ia menjadi negara besar bagi bersama – sama menghadapi segala bentuk cabaran yang ada diperingkat antarabangsa.

Melalui pembentukan sebuah gagasan baru Malaysia ini, negeri-negeri kecil dapat bersatu serta menjadi sebuah entiti negara lebih besar serta dapat mengharungi segala bentuk cabaran serta pengaruh luar yang datang.

Agak sukar untuk sesebuah negara kecil terutamanya yang baru mendapat kemerdekaan untuk bergerak secara bersendirian kerana kekurangan sumber ekonomi, pengalaman, tenaga kerja dan lain-lain lagi.

Oleh demikian, pembentukan sebuah negara besar seperti Malaysia adalah langkah tepat bagi memastikan semua negeri yang kecil ini dapat bersatu dalam sebuah negara yang lebih besar untuk berjaya serta membawa kemakmuran kepada rakyat mereka.

Malaysia kini terdiri daripada 14 negeri, dan buat sekian lama, rakyat Malaysia dapat hidup dalam keadaan aman dan makmur walaupun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum, latar belakang, budaya dan agama.

Amat penting bagi negara kita kekal bersatu dalam gagasan sedia ada. Perlu diingatkan pepatah mengatakan “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”, jika kita berpecah belah, agak sukar untuk kita hadapi segala bentuk cabaran luar yang mendatang.

Ini juga selaras dengan kata-kata yang terdapat pada jata negara kita sendiri iaitu “Bersekutu Bertambah Mutu”.

Melalui gagasan Malaysia banyak hasil dapat dikeluarkan atau dibuat dengan lebih jayanya berbanding sekiranya kita kekal bersendirian.

Usaha perlu diambil lagi bagi memastikan gagasan yang telah dibentuk buat sekian lama ini kekal buat selamanya.

Antara usaha yang boleh diambil ialah dengan terus menghormati segala dasar yang dipersetujui ketika pembentukan gagasan Malaysia itu sendiri.

Segala bentuk penjanjian yang telah dibuat ketika termeterainya penjanjian pembentukan gagasan Malaysia perlu dipatuhi dan dihormati oleh semua pihak.

Segala bentuk ketetapan yang dibuat di dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri juga perlu dihayati dan dilaksanakan.

Selaras dengan keadaan semasa, konsep penurunan kuasa juga boleh dilaksanakan bagi memberi lebih banyak ruang kepada negeri-negeri untuk mentadbir negeri mereka dengan lebih baik lagi. – 16 September, 2017.

* Muzaffar Syah Mallow adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen