Setiausaha agung FWP Thailand hadapi pertuduhan


Setiausaha Agung Future Forward Party (FWP) Piyabutr Saengkanokkul menghadapi pertuduhan undang-undang selepas pilihan raya umum 24 Mac lalu. – Gambar AFP, 17 April, 2019.

SETIAUSAHA Agung Future Forward Party (FWP) Piyabutr Saengkanokkul menghadapi pertuduhan undang-undang selepas pilihan raya umum 24 Mac lalu.

Profesor undang-undang perlembagaan dan sarjana itu menghadapi pertuduhan menghina mahkamah mengikut Seksyen 198 Kanun Jenayah Thailand dan juga melanggar Seksyen 14 (2) Akta Jenayah Komputer.

“Semua pertuduhan yang difailkan (terhadap saya) adalah bermotifkan politik kerana ia difailkan oleh pesaing politik, penasihat undang-undang bagi Majlis Kebangsaan untuk Perdamaian dan Perintah (NCPO) (Kol Burin Thongprapai).

“Bagi kes menghina mahkamah, kenapa aduan difailkan oleh pihak ketiga (Burin),” katanya di pejabat Technology Crime Suppression Division (TCSD) di Lak Si, Bangkok hari ini.

Terdahulu, Piyabutr, pengasas FWP hadir di ibu pejabat TCSD di Kompleks Kerajaan di Jalan Chaeng Wattana hari ini untuk mendengar pertuduhan terhadapnya. 

Dua pertuduhan terhadap Piyabutr adalah berdasarkan klip video beliau membacakan kenyataan parti mengenai keputusan mahkamah perlembagaan untuk membubarkan Parti Thai Raksa Chart pada Mac. 

Burin memfailkan aduan terhadap Piyabutr kerana menghina mahkamah dan mengimport maklumat yang boleh menjejaskan keselamatan negara atau ketenteraman awam ke dalam sistem komputer.

Piyabutr yang menafikan kedua-dua pertuduhan itu berkata, beliau akan memfailkan hujahan bertulis pada 25 April.

Beliau merupakan pemimpin FWP kedua yang menghadapi pertuduhan undang-undang selepas pilihan raya umum yang masih lagi belum mengumumkan keputusan rasmi.

Pada 6 April, pemimpin parti FWP Thanathorn Juangroongruangkit didakwa atas pertuduhan hasutan dalam perhimpunan anti-junta pada 2015. Beliau hadir di Balai Polis Pathumwan untuk mendengar pertuduhan terhadapnya. 

Bintang politik yang semakin menyinar, Thanathorn menghadapi dua pertuduhan melanggar Perkara 189 kerana membantu pihak lain yang melakukan jenayah serius dan Perkara 215 kerana mengambil bahagian dalam satu perhimpunan haram.

Beliau berdepan hukuman penjara sembilan tahun jika didapati bersalah.

Thanathorn juga menghadapi pertuduhan berasingan jenayah siber kerana berucap di Facebook mengkritik junta negara itu pada Julai.

Menurut undang-undang pilihan raya, sabitan jenayah boleh menyebabkan hilang kelayakan bagi kedua-dua ahli politik itu.

Parti FWP yang mendapat sokongan generasi muda, meraih 6.2 juta undi dan memenangi 30 kerusi kawasan pilihan raya.

Sebagai profesor undang-undang perlembagaan, Piyabutr berkata beliau telah mengkritik keputusan mahkamah sebagai sebahagian daripada kajian akademiknya dan tidak pernah didakwa kerana menghina mahkamah.

“Apabila bergelar ahli politik, saya didakwa kerana mengkritik keputusan (mahkamah),” katanya.

Sementara itu, tidak ada wakil kedutaan asing hadir untuk memerhatikan prosiding hari ini walaupun jurucakap wanita parti itu berkata wakil dari beberapa kedutaan asing telah meminta kebenaran untuk menghadiri prosiding hari ini. 

Pada 11 April, Kementerian Luar Thailand melahirkan kekecewaan terhadap kehadiran wakil-wakil kedutaan asing untuk menyaksikan prosiding undang-undang ke atas Thanathorn pada 6 April.  – Bernama, 17 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen