Prabowo dakwa sudah menang, terpilih presiden Indonesia


Prabowo Subianto mendakwa beliau sebenarnya kini mendahului kiraan sebenar undi dalam pemilihan presiden Indonesia hari ini walaupun semua hasil kiraan cepat oleh badan kaji selidik menunjukkan penyandang Presiden Joko Widodo selesa di depan. – Gambar AFP, 17 April, 2019.

PRABOWO Subianto mendakwa beliau sebenarnya kini mendahului kiraan sebenar undi dalam pemilihan presiden Indonesia hari ini walaupun semua hasil kiraan cepat oleh badan kaji selidik menunjukkan penyandang Presiden Joko Widodo selesa di depan.

Hasil kiraan cepat bagaimanapun bukan keputusan rasmi pilihan raya yang hanya akan diumum dan disahkan oleh suruhanjaya pilihan raya dan dijangka diketahui sepenuhnya minggu depan.

Dalam sidang media di depan rumahnya di Jakarta malam ini, Prabowo yang berganding dengan calon naib presiden Sandiaga Uno mengumumkan beliau menang pemilihan presiden 2019.

“Berdasarkan real count kita, kita sudah berada di posisi 62 peratus. Ini adalah hasil real count di lebih dari 320 ribu TPS (tempat mengundi),” kata Prabowo, seperti dipetik portal berita Tempo.

Tempo melaporkan ucapan Prabowo itu disambut gemuruh sorakan ribuan penyokongnya.

FOTO: Indonesia Memilih 2019

Bekas jeneral yang dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi semasa era Suharto itu turut mendakwa angka 62% berdasarkan kiraan pasukan kempennya itu tidak akan banyak berubah.

“Saya akan jadi presiden seluruh rakyat Indonesia. Bagi saudara-saudara yang membela 01 (Joko Widodo atau Jokowi-Ma’ruf Amin) tetap akan saya bela. Saya sudah dan akan menjadi presiden seluruh Indonesia,” tambahnya dipetik Tempo.

Tempo juga melaporkan Prabowo menutup ucapan singkatnya dengan melaungkan takbir sebelum bersujud syukur di hadapan penyokongnya.

Kenyataan Prabowo malam ini tidak selari dengan dapatan pelbagai kiraan cepat yang dilakukan hampir semua badan kaji selidik politik yang turut dipakai oleh media yang membuat liputan pilihan raya ini.

Kiraan awal oleh lima badan penyelidik menunjukkan Jokowi-Ma’aruf mendahului antara 53.92% hingga 55.21%, dengan baki lebih kurang 10% undi belum dikira cepat.

Pasangan Prabowo-Sandiaga pula mendapat antara 44.79% hingga 46.08%.  – 17 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen