Patahkan naratif Pakatan tidak bela Melayu, Islam


PARTI Amanah Negara (Amanah) yang berusia lebih kurang tiga tahun telah ditubuhkan pada 16 September 2015 hasil pergolakan yang berlaku dalam PAS.

Tanpa menyebut sebab dan musabab berlaku pergolakan itu, Amanah yang berusia begitu muda telah diuji dengan menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sarawak.

Apa pun Amanah sejak dilahirkan telah membuat gabungan dengan parti-parti lain seperti Keadilan dan DAP, menyedari bahawa Amanah di peringkat awal ini tidaklah sekuat mana melainkan bergantung pada kerjasama dengan parti-parti rakan-rakan dalam Pakatan Harapan.

Munculnya Bersatu pimpinan Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan lain-lain rakan bekerjasama dengan PH dengan kerjasama yang erat menghadapi Barisan Nasional di bawah pimpinan Najib Razak.

PH mengenengahkan isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, 1MDB yang paling utama menyebabkan rakyat meyakininya dan menolak BN dalam pilihan raya Mei 2018 yang lalu.

Kita sedar bahawa sebahagian besar orang Melayu khasnya di Semenanjung masih kuat berpegang kepada Umno dan juga PAS. Golongan yang tidak berparti sama ada Melayu atau bukan Melayu, khasnya orang bukan Melayu, telah memberi keyakinan kepada PH di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad, sekaligus memberi undi yang agak tinggi membolehkan PH melebihi kerusi yang dipungut oleh BN; maka mereka diiktiraf untuk memerintah Malaysia pada pilihan raya 9 Mei 2018.

Memang undi orang-orang Melayu secara umumnya tidak begitu melonjak kepada PH terutama isu perkauman yang dimainkan iaitu menerajui, mempelopori dan menguasai PH adalah DAP yang kebanyakan pimpinannya adalah orang Cina dan India.

Sokongan daripada Warisan dan beberapa individu di Sabah dan Sarawak membolehkan PH mengambil alih pemerintahan Malaysia pada PRU yang ke-14 yang lalu.

Setelah Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri diikuti Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Kewangannya Lim Guan Eng, setiausaha DAP; Menteri Dalam Negeri Muhyiddin; Menteri Pertahanan adalah presiden Amanah diikuti dengan Menteri Penerangan Gobind Singh Deo dari DAP, maka dilihat kerajaan PH dikuasai oleh bukan Melayu terutamanya menteri kewangan berada di tangan Lim Guan Eng dari DAP dan menteri penerangan, yang secara tradisinya dikuasai oleh Umno, kali ini dikuasai oleh menteri dari DAP.

Oleh itu, kerajaan PH dikuasai oleh DAP dan bukan Melayu dicanangkan oleh Umno dan PAS sehingga ia memerangkap fikiran rakyat Malaysia khasnya orang Melayu bahawa pimpinan PH dikuasai oleh bukan Melayu khasnya DAP.

Persepsi ini menenggelamkan soal rasuah dan penyelewengan yang dilakukan kerajaan terdahulu terutamanya oleh Najib Razak melalui 1MDB dan rakan-rakannya kerana propaganda Umno-PAS lebih menonjol iaitu: Melayu, orang Islam yang rasuah dan menyeleweng lebih selamat kita bernaung daripada orang bukan Melayu, orang bukan Islam khasnya DAP walaupun mereka tidak menyeleweng.

Tanggapan ini ditanam begitu lama (iaitu) “seburuk-buruk orang Islam yang zalim lebih baik daripada orang bukan Islam yang adil”.

Soal konsep ini betul atau tidak, tidak menjadi persoalan. Konsep ataupun pegangan yang mengatakan bahawa orang Islam yang zalim dan yang rasuah lebih baik daripada orang kafir yang adil dan baik ini ditanamkan oleh pengkuliah-pengkuliah di seluruh Malaysia, mengambil hujah-hujah yang mereka pelajari daripada ajaran yang kononnya daripada ajaran agama Islam itu sendiri.

Maka naratif ataupun persepsi yang mengatakan bahawa Kerajaan PH ditunggangi oleh bukan Melayu dan bukan Islam sudah diyakini ramai, sudah dipegang oleh sebahagian besar orang Melayu dan orang Islam di Malaysia khasnya di Semenanjung, tidak di Sabah dan Sarawak.

Oleh itu, setiap berlaku pilihan raya kecil terutama selepas peristiwa anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban dalam rusuhan di kuil di Selangor itu menjadikan keyakinan orang-orang Melayu khasnya yang terperangkap dalam hujah-hujah Umno dan PAS semakin kuat dan semakin ketara.

Ia menjadi satu pegangan yang diterima pakai sekarang ini bahawa kedudukan orang Melayu, Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu tergugat di bawah pemerintahan PH.

Kita hendaklah memulakan perjuangan kita daripada persimpangan yang dicipta ini. Memang setelah hampir setahun pemerintahan PH, kita menghadapi masalah besar. Perjalanan Tabung Haji, harta Tabung Haji yang hampir RM80 bilion kalau tidak diselamatkan Tabung Haji ini akan runtuh. Bila Tabung Haji runtuh hasil daripada salah urus di bawah pemerintahan BN dahulu, rating Moody terhadap Malaysia akan turun, menyebabkan pelabur-pelabur asing akan menjauhi Malaysia.

Mahu tidak mahu, kerajaan PH yang Menteri Kewangannya Lim Guan Eng telah berusaha dan berikhtiar walaupun dalam keadaan kekangan kewangan iaitu mengeluarkan lebih RM17 bilion “bail out” untuk menyelamatkan satu institusi tabung bumiputera yang begitu besar iaitu Tabung Haji.

Seluruh ahli-ahli Amanah dan pejuang-pejuang rakyat hendaklah mengumandangkan isu ini iaitu kerajaan PH menyelamatkan institusi perniagaan Bumiputera, tabung yang terbesa. Walaupun Menteri Kewangan PH daripada DAP, Cina, dan bukan Muslim tetapi Lim Guan Eng melihat dari sudut keharmonian, kekuatan politik, menolong, membantu Bumiputera, orang Melayu dan Islam. Ini yang diutamakan daripada soal perkauman yang diluaslebarkan oleh Umno dan BN.

Penerangan ini mesti dilancarkan habis-habisan oleh PH khasnya ahli-ahli Amanah bahawa kerajaan PH tidak mengkhianati Melayu dan Bumiputera, Islam dan orang Islam seperti mereka gambarkan.

Ya, barangkali kita mengambil masa sedikit untuk memberi penerangan ini tetapi saya yakin menjelang pilihan raya tiga atau empat tahun akan datang, orang Melayu dan umat Islam akan pulih keyakinan mereka kepada PH khasnya agenda untuk menguatkan ekonomi dan menaik taraf kedudukan orang Melayu dan orang Islam.

Begitu juga dengan Felda, sebuah lagi institusi yang dikuasai dan dimonopoli oleh orang Melayu yang berlaku juga penyelewengan sehingga meresahkan peneroka Felda. Sekali lagi penyelewengan yang berlaku dahsyat, didedahkan melalui kertas putih oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali di Parlimen.

Penyelewengan terhadap Felda menyebabkan kerajaan PH di bawah Menteri Kewangannya Lim Guan Eng mengeluarkan lebih kurang RM6.2 bilion untuk bailout dan menyelamatkan Felda, satu-satunya institusi yang dikuasai sepenuhnya oleh Melayu, Bumiputera, Islam.

Inilah yang perlu kita gambarkan kepada rakyat khasnya orang Melayu dan juga orang Islam untuk mengatasi propaganda sementara yang diyakini dan dipercayai oleh orang Melayu sekarang hasil dominasi fikiran yang ditanam oleh Umno dan PAS.

Begitu juga satu lagi tabung yang dipelopori Bumiputera dan penyimpan sahamnya juga Bumiputera, Melayu dan Islam – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). Walaupun kerajaan tidak bail out LTAT tetapi usaha penstrukturan semula adalah untuk menguatkan institusi Bumiputera khasnya tabung ini supaya berfungsi lebih hebat dan gigih untuk maju pada masa akan datang, dan semua penyimpannya majoritinya adalah Bumiputera Melayu Islam.

Kita mesti terangkan kepada rakyat bahawa kerajaan PH adalah kerajaan yang membela Melayu, membela orang Islam. Pada masa yang sama, berusaha menentang rasuah dan penyelewengan yang dilakukan sesiapa sekalipun sama ada orang Islam atau bukan Islam.

Tonjolkan kembali, patahkan serangan Umno dan PAS tentang pandangan itu buat sementara ini yang diyakini oleh rakyat bahawa kerajaan PH tidak membela Melayu dan tidak membela Islam.

Kuatkan serangan atau pandangan kita untuk kita tonjolkan Islam Rahmat Untuk Semua, Islam Rahmatan Lil ‘Alamin. Ketengahkan kepada masyarakat dan seluruh rakyat Malaysia supaya naratif dan persepsi yang ditanam bahawa kerajaan PH tidak membela Melayu, tidak membela Islam akan patah di tengah jalan. – 17 April, 2019.

*Mohamad Sabu adalah presiden Parti Amanah Negara.


 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen