Jajaran semula ECRL: Jangan hampakan penduduk Bentong


SAYA mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Malaysia kerana berjaya meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dapat menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat dengan penjimatan kos projek sebanyak RM21.5 billion dan penjimatan kos faedah sebanyak RM12.4 billion. 

Di sebalik penjimatan ini, berlaku juga penjajaran semula laluan ECRL yang menyebabkan tiada lagi laluan dan stesen ECRL di Bentong. Sudah pasti keputusan ini menimbulkan kekecewaan dalam kalangan warga Bentong yang mendambakan pembangunan dan kemajuan ekonomi di kawasan mereka. 

Hikmah daripada keputusan ini, Bentong dapat mengekalkan keunikan sebagai kawasan hijau dan lokasi pelancongan dan pertanian utama negara. Gunung, bukit, hutan dan sungai di kawasan Bentong akan terpelihara daripada kerosakan dan bencana yang melibatkan alam dapat dielakkan. 

Sebagai wakil rakyat di salah satu DUN di bawah Bentong, saya ingin memohon agar keputusan ini tidaklah berakhir tanpa galang ganti. Sebagai sebuah kawasan yang sangat berhampiran dengan ibu kota Kuala Lumpur dan pintu masuk kepada negeri-negeri Pantai Timur, kerajaan pusat perlu memberi perhatian yang wajar kepada pembangunan di Bentong. 

Saya mendesak agar penjimatan berpuluh bilion daripada penjajaran semula laluan ECRL daripada Bentong digunakan untuk projek pembangunan infrastruktur lain di kawasan Bentong. 

Berikut adalah permintaan saya mewakili warga Bentong. 

1. Pembinaan stesen ECRL di Pelangai, Bentong. Pelangai, salah satu DUN di bawah Parlimen Bentong yang sangat memerlukan infrastruktur pengangkutan yang sangat mendesak. Semua sedia maklum bahawa jalan perhubungan ke Pelangai yang seperti ular menyukarkan perhubungan penduduk dan menyekat potensi kegiatan ekonomi di kawasan mereka. Tentunya kos pembinaan stesen di Pelangai yang merupakan dalam laluan ECRL antara Jelebu dan Mentakab adalah lebih kecil dan sangat wajar. 

2. Menghapuskan tol Lebuh Raya Karak dengan secepat mungkin. Ini merupakan salah satu janji utama oleh Pakatan Harapan di Bentong semasa PRU14. Sudah tentulah kos mengambil alih konsesi tol Lebuh Raya Karak adalah lebih kecil berbanding dengan penjimatan berpuluh billion daripada penjajaran semula laluan ECRL. Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan beban kos pengangkutan bagi warga Bentong malah dapat menggalakkan kegiatan ekonomi yang berasaskan perlancongan dan pertanian di Bentong. 

3. Penambahbaikan dan pelebaran laluan jalan raya Lebu-Mempaga-Sertik. Sudah bertahun lamanya penduduk di kawasan ini menginginkan jalan raya yang selesa dan selamat untuk kegunaan mereka. Keadaan jalan yang teruk telah menambah risiko kemalangan yang telah mengakibatkan banyak kehilangan nyawa. Jalan ini merupakan jalan utama bagi tiga kawasan DUN di bawah Parlimen Bentong iaitu DUN Bilut, Ketari dan Sabai. 

4. Menyegerakan projek laluan ‘bypass’ Central Spine Road (CSR) di kawasan Bentong. Projek ini yang sudah dimulakan bertahun lalu masih belum siap dan mengalami kelewatan. Projek ini sangat penting bagi warga Bentong kerana ia dapat mengurangkan kesibukan trafik di dalam kawasan Bentong terutamanya pada waktu hujung minggu dan musim cuti perayaan.

Diharapkan pihak Kerajaan Malaysia dapat mempertimbangkan kesemua permintaan dan harapan seluruh warga Bentong ini. Ubatilah kedukaan kami seluruh warga Bentong dengan memberi peluang pembangunan dan kemajuan ekonomi yang sewajarnya kepada Bentong. – 16 April, 2019


* Young Syefura Othman merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Ketari.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen