Ecuador kena 40 juta serangan siber sejak penahanan Assange


Pengasas Wikileaks Julian Assange ditahan dan dibawa keluar dari kedutaan Ecuador di London pada Khamis. – Gambar EPA, 16 April, 2019.

ECUADOR berkata ia mengalami 40 juta serangan siber di laman web institusi awam selepas menarik balik suaka politik pengasas Wikileaks Julian Assange.

Timbalan Menteri Maklumat dan Teknologi Komunikasi Ecuador Patricio Real berkata serangan yang bermula pada Khamis itu, datang dari Amerika Syarikat, Brazil, Belanda, Jerman, Romania, Perancis, Austria dan United Kingdom, selain negara Amerika Selatan.

Assange ditahan dan dibawa keluar dari kedutaan Ecuador di London pada Khamis selepas Presiden Lenin Moreno menarik balik perlindungan diplomatiknya selepas tujuh tahun hidup dalam buangan di bangunan itu.

Moreno menuduh Assange campur tangan dalam “proses negara lain” dan “merisik”.

Selain menarik balik status suaka Assange, Ecuador turut menggugurkan kewarganegaraan yang diberikan pada 2017 di bawah kerajaan Rafael Correa, iaitu sebelum Moreno.

Setiausaha di Kementerian Telekomunikasi Javier Jara berkata negara itu mengalami serangan yang menyekat akses kepada Internet susulan “ancaman daripada kumpulan dikaitkan dengan Julian Assange”.

Paling teruk terjejas ialah Kementerian Luar, bank pusat, pejabat presiden, pejabat hasil dalam negeri dan beberapa kementerian serta universiti.

Bagaimanapun, tiada institusi berkenaan melaporkan kecurian maklumat atau kehilangan data. – AFP, 16 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen