Sektor pembinaan masih suram walau projek ECRL diteruskan semula


Ragananthini Vethasalam

Projek ECRL akan diteruskan tetapi penganalisis berkata ia belum mampu menghidupkan semula sektor pembinaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 April, 2019.

WALAUPUN kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), ia masih belum mampu menghidupkan semula sektor pembinaan yang kelam kerana penganalisis masih berhati-hati terhadap industri dan saham.

Mereka masih waspada terhadap ketidakpastian yang melingkari projek itu, terutama mengenai status kontrak yang diberikan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Isnin berkata penyertaan firma tempatan bagi kerja sivil meningkat kepada 40% daripada 30% di bawah perjanjian rundingan semula tambahan yang ditandatangani antara China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd 12 April.

Bagaimanapun, ketika pasaran ditutup pada Isnin, indeks pembinaan di Bursa Malaysia turun 1.14% kepada 203.32 mata.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Pong Teng Siew berkata masih tidak diketahui sama ada kontrak lama akan diteruskan atau akan ada tender semula.

“Beliau (Dr Mahathir) ada menyebut kontraktor tempatan akan mendapat kira-kira 40% daripada kerja terbabit tetapi syarikat mana sebenar yang akan mendapatnya?

“Saya fikir pelabur memutuskan untuk menunggu sehingga pengumuman sebenar keluar dan anugerah sebenar diumumkan.

“Kami juga tidak pasti sama ada kerja terdahulu akan diteruskan seperti yang diberikan sebelum ini atau akan dibida semula.

“Tanpa adanya pengesahan, pelabur mahu menunggu dan terdapat pengambilan keuntungan hari ini (di pasaran saham),” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditanya mengenai saham seperti Lafarge Malaysia Bhd dan HSS Engineers Bhd.

Kontrak Lafarge Malaysia bernilai RM270 juta untuk membekalkan simen bagi projek itu dan kedua-dua kontrak yang diberikan kepada syarikat bersekutu HSS, HSS Integrated Sdn Bhd, untuk menyediakan perkhidmatan konsultasi penyeliaan dan reka bentuk, berjumlah RM107.5 juta, berdepan masalah selepas projek itu digantung oleh kerajaan.

Pada Ogos lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membatalkan projek ECRL yang memaksa China kembali mengadakan rundingan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 April, 2019.

Pong berkata terdapat pengambilan keuntungan daripada stok berkaitan dengan ECRL dan pembinaan kerana pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat ketika menunggu pengumuman lanjut mengenai syarikat yang berjaya memperoleh pakej kerja dan urus niaga penawaran. Keadaan itu dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang.

Lafarge Malaysia ditutup 3 sen lebih rendah pada RM2.45 selepas dagangan di Bursa Malaysia ditutup pada Isnin. HSS Engineers sebaliknya tetap tidak berubah dengan harga RM1.19 pada 5 petang Isnin.

AmInvestment Bank berkata dalam satu nota kajian pada Isnin, sementara pemulihan semula projek itu adalah positif bagi sektor pembinaan dan bahan bangunan, ia bukan faktor penentu kepada industri ini.

“Walaupun penerusan semula ECRL adalah positif kepada kedua-dua sektor pembinaan dan bahan bangunan, ia bukan faktor penentu kepada industri ini. Kami menganggarkan permintaan tambahan untuk simen dan bar keluli hanya 1-2% daripada penggunaan tahunan semasa simen dan bar keluli tempatan.

“Memandangkan komitmen tegas kerajaan terhadap penjimatan fiskal, kami bimbang ini boleh menjadi ‘zero-sum game’ kerana pemulihan projek ECRL masih besar mungkin menghalang kemampuan kerajaan untuk melaksanakan projek infrastruktur lain dalam empat hingga lima tahun,” katanya. – 16 April, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen