Bacaan hujan tertinggi dalam sejarah sebabkan banjir di Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Bacaan hujan tertinggi pada 270 mm, yang tertinggi dalam sejarah hingga menyebabkan banjir kilat di Pulau Pinang pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight, 15 September, 2017.

PULAU Pinang mencatatkan hujan tertinggi pada 270 mm, yang tertinggi dalam sejarah hingga menyebabkan banjir kilat melanda bahagian pulau dan tanah besar pagi ini, kata kerajaan negeri.

Hujan lebat selama lebih empat jam adalah sebahagian daripada fenomena inter-monsoon yang juga dijangka melanda negeri-negeri di utara Semenanjung.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata stesen hujan JPS di daerah Timur Laut mencatatkan hujan lebat dalam tempoh empat jam – 198 mm di stesen Sungai Pinang (daerah timur laut) dan 175 mm di stesen Bendera Teluk Bahang (daerah barat daya).

Bacaan hujan tertinggi adalah 270 mm yang dicatatkan di stesen Air Itam, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng yang turut berada pada sidang akhbar. Lim ialah pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang.

Hujan lebat juga memenuhi dua empangan di pulau itu. Empangan Teluk Bahang kini 85% penuh sementara Empangan Air Itam 91%.

Dari jam 4 pagi hingga 10.35 pagi, stesen di Sungai Pinang dan Sungai Air Itam masing-masing mencatatkan bacaan 120.2 mm dan 129.5 mm.

Sungai Pinang dan Sungai Air Itam  merupakan sungai utama di Pulau Pinang. Paras air di kedua-dua sungai telah mencecah paras bahaya dengan bacaan 3.2 m dan 7.57 m, yang menyebabkan banjir hari ini.

Beliau berkata stesen-stesen lain di tanah besar Pulau Pinang mencatatkan 60 mm dan 120 mm hujan.

“Hujan pada hari ini yang turun selama empat jam adalah 100 mm purata. Ia melebihi 60 mm hujan sejam, yang dikategorikan sebagai hujan lebat.

“Pulau Pinang sehingga kini mencatatkan 80% daripada hujan tahunan iaitu sebanyak 2,500 mm. Baki hujan dijangka di antara bulan ini dan Disember,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Air pasang dan saliran air disekat

Chow berkata air pasang antara 1.8 m dan 2.1 m sejak 5 pagi tadi juga menyebabkan banjir kilat.

“Beberapa sungai dan sistem saliran di kawasan perumahan dan kampung tidak mampu menampung hujan lebat.

“Beberapa kemudahan utiliti yang dibina di bina di sungai dan parit utama juga menghalang aliran air.

“Kita juga masih lagi berdepan dengan masalah sisa domestik, perindustrian dan pertanian yang dibuang ke dalam sungai dan longkang monsun. Ini menghalang sistem perparitan terutamanya di rumah pam berfungsi dengan baik.”

Setakat ini, seramai 40 orang dari 19 keluarga di Teluk Kumbar sudah dipindahkan. Seorang lelaki dari Mak Mandin di Butterworth juga dipindahkan.

Banjir melanda daerah barat daya termasuk Kg Naran, Kg Kulup, Kg Nelayan, Bayan Baru, Sungai Pinang, Teluk Bahang, Sungai Rusa dan Pondok Upeh.

Di daerah timur laut pula, kawasan-kawasan yang terlibat adalah Kg Masjid, Kg Makam, Jalan P Ramlee, Jalan Masjid Negeri, Stadium Astaka, Jalan Tun Sardon, Farlim, Jalan Macallum, Sekolah Percuma Taman dan Kg Mutiara di Batu Ferringhi.

Manakala di tanah besar, kesemua tiga daerah dilanda banjir kilat. Kawasan yang terjejas di daerah Seberang Perai Utara termasuk Butterworth serta kawasan perindustrian Mak Mandin. Banjir kilat menjejaskan 50 buah rumah.

Di daerah Seberang Perai Tengah, beberapa buah kampung dan kawasan perumahan di Seberang Jaya, Perai, Bukit Mertajam dan Permatang Pauh turut terjejas.

Begitu juga Kg Nenas Sungai Kechil, Kg Sethu, Kg Titi Hitam dan Kg Pengkalan di Seberang Perai Selatan.

Chow berkata kerajaan negeri melalui JPS dan majlis tempatan akan meneruskan projek tebatan banjir di kawasan-kawasan hotspot banjir dengan peruntukan sebanyak RM300 juta. Ia dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.

Pulau Pinang mempunyai projek tebatan banjir berimpak tinggi bagi menanganimaslaah banjir di 47 lokasi.

Projek-projek ini dijangka akan siap dalam tempoh dua atau tiga tahun, sementara pihak berkuasa meneruskan kerja-kerja pencegahan dan penyelenggaraan sistem saliran yang sedia ada.

Mengenai projek tebatan banjir Sungai Pinang, Lim berkata kerajaan Persekutuan memberi RM150 juta untuk pelaksanaannya dan kerajaan negeri sendiri telah memperuntukkan sebnayak RM150 juta. – 15 September, 2017.


Sign up or sign in here to comment.


Comments