.jpg)
SAYA ingin mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Kebakaran yang meragut nyawa 23 mangsa, 21 pelajar kanak-kanak dan dua guru sekolah, merupakan kemalangan yang boleh dicegah sekiranya langkah-langkah keselamatan tidak diabaikan.
Kemalangan ini bukanlah kes yang baru malah menurut laporan media lebih daripada 200 kes kebakaran sekolah tahfiz telah dilaporkan sejak 2015.
Umum mengetahui ada juga sesetengah sekolah tahfiz tidak didaftar di bawah Kementerian Pendidikan malah banyak sekolah ini juga tidak mempunyai permit.
Jadi persoalannya, siapakah yang bertanggungjawab?
Di manakah kemahuan politik untuk mengelakkan bencana sebegini?
Keselamatan serta piawaian tidak diberikan keutamaan oleh sesetengah pihak pengendali sekolah tahfiz. Tindakan undang-undang setimpal harus diambil terhadap yang bertanggungjawab supaya peristiwa sebegini tidak diulangi lagi.
Dengan bilangan kes banyak membabitkan sekolah tahfiz, semua badan kerajaan peringkat persekutuan dan negeri harus memastikan sekolah-sekolah tahfiz mengikut piawaian Undang-undang Kecil Bangunan Seragam di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan.
Kerjasama antara Jabatan Agama Islam Negeri, pihak berkuasa tempatan, Kementerian Pendidikan, serta Jabatan Bomba diperlukan untuk memantau piawaian sekolah-sekolah tahfiz.
Pengusaha sekolah-sekolah tahfiz harus memberikan kerjasama dengan pihak kerajaan dan tidak memberikan sebarang alasan kerana ini melibatkan keselamatan pelajar. Oleh itu, kelonggaran tidak boleh dipertimbangkan.
Sebagai contoh, jika sekolah tahfiz didirikan di kawasan perumahan, pihak sekolah harus mendapatkan persetujuan penduduk, sebelum mendapat kelulusan daripada jabatan perancang pihak berkuasa tempatan dan jabatan bomba.
Setiap sekolah tahfiz juga harus memastikan bangunan sekolah serta pelajar mendapat perlindungan insurans secara komprehensif. Bilangan pelajar di sekolah tahfiz berasrama penuh juga harus mematuhi Seksyen 79 Akta Kerajaan Tempatan berkenaan kesesakan rumah.
Setiap sekolah harus memastikan jalan keluar strategik mengikut syor jabatan bomba dan juga memastikan bahawa pengendali sekolah-sekolah tersebut mempunyai pengetahuan asas keselamatan.
Keselamatan pelajar-pelajar sekolah wajib diberi keutamaan dan tidak boleh dikompromi. Pihak sekolah mempunyai tanggungjawab untuk melindungi anak-anak kita daripada apa jua kecelakaan dan elemen-elemen yg merbahayakan.
Jika kita mahukan anak-anak kita mendapat ilmu yang berkualiti, kita harus memastikan mereka mendapat ruang yang selamat. – 15 September, 2017.
*Muhammad Shakir Ameer Mohideen ialah ahli majlis, Majlis Bandaraya Shah Alam.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen