KL-Washington, petanda Malaysia jadi sekutu tentera AS?


LAWATAN rasmi perdana menteri Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) semalam, menimbulkan perspektif baru dalam konteks hubungan antarabangsa, dasar luar, diplomasi perdagangan dan ekonomi serta geopolitik di Asia Pasifik.

Hubungan Malaysia-AS sejak 1957 lebih dipengaruhi faktor perdagangan, bukan faktor geopolitik atau keselamatan serantau.

KL-Washington bukan sekutu tentera seperti Filipina dan Thailand. Namun Malaysia mempunyai beberapa perjanjian kerjasama ketenteraan dengan AS di bidang latihan dan konsultasi. Ini dimeterai sebagai “hedging” kepada faktor China di Asia Tenggara.

Apabila perdana menteri memberi komitmen terbuka bahawa Malaysia akan memerangi teroris Muslim, termasuk Al-Qaeda, Abu Sayyaf, Daesh dan IS, adakah ini menandakan Malaysia dalam proses dijadikan sekutu tentera AS?

Apabila Presiden Trump berkata, Malaysia akan memainkan peranan besar dalam gerakan anti terorisme di Asia Tenggara, adakah ini bermakna Kuala Lumpur memainkan peranan anti terorisme menerusi gerakan ketenteraan ofensif?

Apakah komitmen Malaysia dan kenyataan Trump di atas memungkinkan Malaysia membuka fasiliti ketenteraannya di Sabah untuk membantu logistik tentera AS di Basilan, Selatan Filipina, sejak 2002, untuk memerangi Abu Sayyaf dan Daesh?

Perkasa mendesak kerajaan memberikan perincian mengenai “major role” yang akan dimainkan Malaysia untuk memerangi pengganas Muslim di Asia Tenggara. Adakah hanya terhad kepada aktiviti perang saraf? Adakah termasuk operasi ketenteraan ofensif di Sabah dan Selatan Filjpina?

Presiden Trump berkata Malaysia sudah memutuskan hubungan dagangnya dengan Korea Utara.  Adakah ini menandakan Malaysia mengkompromikan keberkecualian dasar luarnya yang dipelopori Tun Razak Hussein pada era perang dingin? Adakah tindakan ini untuk “hedging” hubungan Malaysia-AS dan hubungan Malaysia-China yang kini kurang seimbang?

Perkasa Malaysia minta kerajaan jelaskan hakikat anjakan dasar luar ini supaya keberkecualiannya terus terpelihara.

Perdana menteri juga memberitahu Trump kunjungannya ke White House untuk membantu AS adikuasa (super power), mengukuhkan ekonominya, dan membangunkan semula projek prasarananya. 

Tawaran bernilai tinggi ini dipakejkan menerusi pembelian pesawat komersil untuk MAS sejumlah AS10 bilion, penambahan pelaburan KWSP di pasaran modal AS antara AS$3 bilion hingga AS$4 bilion, dan penambahan pelaburan Khazanah di bidang teknologi tinggi di AS,  kini sejumlah AS$400 juta.

Diplomasi ini satu paradoks atau mengandungi percanggahan. Ia dilakukan ketika rakyat marhaen Malaysia sedang diseksa dan didera oleh kos hidup harian yang kian melambung. Ia juga dilaksanakan oleh Malaysia selaku negara kecil terhadap AS selaku super power.

Soalnya, kenapakah Malaysia mesti membantu pemulihan ekonomi AS dan pembangunan semula prasarananya? Bukankan beribu-ribu kilometer lagi jalan kampung di Malaysia yang masih belum di turap tar, dan banyak lagi kampung perlukan air bersih, wletrik dan lain-lainnya?

Apakah matlamat sebenar Malaysia membantu pengukuhan ekonomi AS, dan menolong AS bangunkan semula infrastrukturnya?  Tidakkah ini aneh dan mungkin belum pernah dibuat oleh mana-mana negara kecil terhadap AS?

Kerajaan perlu menjelaskan tindakan diplomasi ini kepada rakyat Malaysia. Apakah matlamat sebenar di sebaliknya? Apakah untung dan ruginya?

Perkasa juga mendesak kerajaan menjelaskan kepada rakyat, mengenai cadangan KWSP menambah pelaburannya di AS,  dan Khazanah menambah pelaburannya di bidang teknologi tinggi di AS.

Perkasa tidak rela, wang rakyat dan wang kerajaan Malaysia, dilaburkan di AS pada ketika ini, hanya sebagai strategi diplomasi ekonomi dan diplomasi dagang, yang matlamatnya adalah diragui dan mungkin untuk menggilap nama baik negara yang dikatakan terjejas akibat kemelut 1MDB. – 14 September, 2017.

* Ruhanie Ahmad ialah naib presiden Perkasa.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen