Wang RM10 juta untuk beli apartmen di London, kata Mat Hasan


SM Amin

Calon pilihan raya kecil DUN Rantau Mohamad Hasan berkata SPRM telah menjalankan siasatan dan mendapati tiada elemen rasuah dalam transaksi pemindahan wang tersebut.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 April, 2019

MOHAMAD Hasan menafikan beliau melakukan kesalahan dalam pemindahan wang sebanyak RM10 juta ke London melalui pengurup wang pada tahun 2008.

Calon pilihan raya kecil DUN Rantau itu menjelaskan, wang tersebut adalah untuk pembelian sebuah apartment di London.

Mohamad berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan dan mendapati tiada elemen rasuah dalam transaksi pemindahan wang tersebut.

Beliau menjawab dakwaan yang ditimbulkan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar berhubung pemindahan wang tersebut.

Katanya, terpulang kepada Zulkefly untuk mengambil langkah susulan sekiranya tidak berpuas hati dengan siasatan SPRM sebelum ini.

“Terpulang dia (Zulkefly) nak buat sebab SPRM dah buat siasatan, jadi terpulang kepada pihak berkuasa.

“Cumanya cara menghantar tersebut melalui pengurup wang. Tiada salah guna kuasa ataupun ada saya buat sesuatu yang tak baik untuk saya beli apartment di London,” kata Mohamad.

Mohamad juga berkata, tindakan Zulkefly Pengerusi Amanah Negeri Sembilan membangkitkan semula kes 10 tahun dahulu adalah untuk menyerang peribadinya.

“Saya harap orang ramai dapat bezakan mana betul, mana yang fitnah. Mereka dah nak bunuh karektor saya.

“Kalau saya ada salah semasa menjadi Menteri Besar, sila buat laporan polis, saya harap cara kempen untuk pecah-belah penduduk terutama isu perkauman perlu dijauhkan dan dielakkan kerana ia mendatang kesan jangka panjang,” katanya lagi

Mohamad berkata demikian dalam sidang media di Bilik Operasi Barisan Nasional PRK Rantau hari ini.

Zulkefly dalam ceramah di Taman Kelab Tunku malam tadi mempersoalkan keputusan SPRM sebelum ini yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.

“Siapa kata dia orang bersih? Saya buat laporan polis, dan saya juga buat laporan SPRM kerana Mohamad Hasan masa itu bawa duit guna pengurup wang.

“Tapi sampai sekarang tak kena tahan. Nanti saya akan jumpa SPRM (tanya) kenapa tak tangkap dia?” soalnya.

Kes itu timbul semula selepas Mohamad mendakwa beliau terpaksa menumpang rumah anaknya apabila diarahk keluar dari kediaman rasmi menteri besar apabila BN kalah PRU14.

Dalam ucapan di peringkat awal kempen PRK DUN Rantau itu, Mohamad mendakwa beliau terpaksa berbuat demikian kerana tidak memiliki kediaman lain.

Mohamad yang dilantik menjadi menteri besar pada tahun 2004 telah disiasat oleh Bank Negara kerana telah memindahkan wang sebanyak RM10 juta ke London melalui Salamath Ali.

Tindakan Mohamad itu terdedah apabila Bank Negara membuat siasatan besar-besaran terhadap kegiatan penghantaran wang India Muslim melalui sistem hawala.

Sistem berkenaan disiasatan pihak berkuasa kewangan dan juga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu kerana didakwa dijadikan saluran untuk pemindahan wang untuk pengganas antarabangsa dan penjenayah.

Bank Negara pada tahun 2009 menyatakan Salamath Ali telah melanggar Seksyen 30 Akta Pengurup Wang 1998 dan lesennya telah ditarik balik pada 26 Oktober 2009. – 7 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Wow banyak duit Tok Mat beli harta sampai ke London, syabas

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Teruna Kelana · Ulasan