SEMUA peluang pelaburan asing diteliti untuk memastikan ia sesuai dengan profil risiko dan pulangan sebagai dana simpanan persaraan, kata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini.
Ia susulan pengumuman oleh Perdana Menteri Najib Razak di Amerika Syarikat (AS) semalam yang KWSP akan membuat pelaburan tambahan sebanyak AS$3 bilion (RM12.6 bilion) kepada AS$4 bilion (RM16.8 bilion) bagi pembangunan semula infrastruktur di AS. Najib membuat pengumuman itu semasa pertemuan dengan Presiden AS Donald Trump di White House.
“Kami mempunyai KWSP, yang merupakan dana pencen utama di Malaysia. Ia mempunyai sejumlah besar modal untuk dieksport. Ia telah melabur hampir AS$7 bilion, dari segi ekuiti, di AS.
“Dan mereka berhasrat untuk melabur tiga hingga empat bilion dolar tambahan untuk menyokong pembangunan semula infrastruktur di AS,” kata Najib kepada Trump pada mesyuarat itu.
Dalam satu kenyataan pada petang ini, KWSP berkata ia meneliti peluang pelaburan asing, selaras dengan program kepelbagaian jangka panjangnya di luar negara.
“AS adalah salah satu pasaran utama dalam bidang pelaburan KWSP dari segi saiz dan kedalamannya,” kata KWSP.
KWSP berkata pelaburan luar negara menyumbang 29% daripada jumlah aset pelaburannya dan menyumbang 37% kepada jumlah pendapatan pelaburan pada suku pertama 2017.
“Sebagai dana persaraan, KWSP memastikan setiap cadangan pelaburan melalui penilaian risiko dan tatacara yang ketat untuk melindungi kepentingan 14 juta ahli,” tambah pihak dana itu.
Bagaimanapun, pemimpin pembangkang mempersoalkan mengapa Malaysia berminat membantu ekonomi AS sedangkan rakyat di negara ini berdepan peningkatan kos hidup dengan pelaburan asing yang lebih sedikit.
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali melahirkan rasa terkejutnya dengan pengumuman Najib di AS, sambil menambah wang yang dipegang KWSP adalah amanah rakyat dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. – 13 September, 2017.
Komen