Bekas ketua JSJ tarik balik rayuan kes saman Najib


Bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Mat Zain Ibrahim menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Najib Razak untuk membatalkan saman yang dikemukakan oleh bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Mat Zain Ibrahim berhubung angkat sumpah jawatan perdana menteri pada 2009 yang didakwa tidak mengikut Perlembagaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2019.

BEKAS ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Mat Zain Ibrahim hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan Najib Razak untuk membatalkan saman yang dikemukakannya berhubung angkat sumpah jawatan perdana menteri pada 2009 yang didakwa tidak mengikut Perlembagaan.

Peguam Adenan Ismail yang mewakili Mat Zain, memaklumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Dr Badariah Sahamid bahawa anak guamnya ingin menarik balik rayuan itu dengan kos RM2,500.

Badariah, yang bersidang bersama Hakim Zabariah Mohd Yusof dan Hanipah Farikullah, kemudian membatalkan rayuan itu dengan kos RM2,500.

Pada 6 Julai 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib untuk membatalkan saman itu kerana isu berkenaan menjadi akademik kerana Najib bukan lagi perdana menteri.

Dalam samannya yang difailkan pada 3 Mac 2018, Mat Zain mendakwa sumpah jawatan dan kesetiaan yang dibuat Najib pada 3 April 2009, tidak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia telah diubah.

Beliau memohon pengisytiharan tindakan Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan sebagai batal dan tidak sah.

Adenan, yang ditanya sebab anak guamnya tidak mahu meneruskan rayuan itu semasa ditemui di luar mahkamah, berkata ia adalah kerana perkara itu sudah tidak relevan kerana Najib bukan lagi perdana menteri.

Peguam Nurshafiqa Balqish Jaffri mewakili Najib. – Bernama, 29 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen