Notis kekosongan kerusi Sandakan diserah kepada SPR


Notis kekosongan kerusi Parlimen Sandakan dikemukakan kepada pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini berikutan kematian Ahli Parlimen Sandakan Wong Tien Fatt @ Wong Nyuk Foh (tiga dari kanan) semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2019.

YANG Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof telah mengemukakan notis kekosongan kerusi Parlimen Sandakan kepada pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Dalam satu kenyataan, Mohamad Ariff berkata ia berikutan kematian Ahli Parlimen Sandakan Wong Tien Fatt @ Wong Nyuk Foh semalam.

“Selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat telah mengemukakan suatu pemberitahuan bertarikh 29 Mac 2019 kepada Pengerusi SPR (Azhar Azizan Harun) bahawa anggota Parlimen Sandakan telah meninggal dunia pada 28 Mac.

“Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1), pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi Parlimen Kawasan P.186 Sandakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR bahawa ada kekosongan,” katanya.

Wong, 65, yang juga menteri kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah, meninggal dunia pada 12.15 tengah hari semalam di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu. 

Mendiang meninggalkan isteri, empat anak dan dua cucu. – Bernama, 29 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen