Tindakan pindah kedutaan Brazil ke Baitulmaqdis menyalahi undang-undang


Janji Presiden Brazil Jair Bolsonaro untuk memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis dijangka dibangkitkan semasa lawatan rasmi beliau ke Israel. – Gambar EPA, 27 Mac, 2019.

MEMINDAHKAN kedutaan Brazil di Israel ke Baitulmaqdis akan menjadi “serangan” terhadap rakyat Palestin dan melanggar undang-undang antarabangsa, kata utusan Palestin ke negara Amerika Latin pada Selasa.

Komen Ibrahim Alzeben dibuat beberapa hari sebelum Presiden Brazil, Jair Bolsonaro membuat lawatan rasmi ke Israel dengan perjanjiannya sebelum ini untuk memindahkan kedutaan dari Tel Aviv dijangka dibangkitkan.

“Memindahkan kedutaan mana-mana negara ... adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa dan serangan terhadap rakyat Palestin,” kata Alzeben kepada AFP.

Selepas mengambil alih kuasa pada Januari, Bolsonaro mengulangi janjinya untuk mengikut jejak langkah Presiden AS Donald Trump dalam memindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis.

Cadangan kontroversi itu menimbulkan kebimbangan ia akan menjejaskan eksport daging Brazil untuk pasaran Arab.

Menteri Luar Negeri Ernesto Araujo memberitahu pemberita pada minggu lalu kerajaan masih “masih mengkaji” rancangan itu.

Keputusan memindahkan kedutaan sangat sensitif kerana Israel mendakwa kesemua Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya, sementara Palestin melihat Baitulmaqdis timur sebagai bakal ibu negara mereka.

Hampir semua negara bersetuju status Baitulmaqdis hanya boleh ditakrifkan melalui perundingan perdamaian Israel-Palestin yang lebih luas.

Setakat ini, hanya Amerika Syarikat dan Guatemala melanggar perjanjian dengan membuka kedutaan di Baitulmaqdis. – AFP, 27 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen