Enam bulan selepas Tsunami, ribuan masih tiada rumah di Palu


Sebuah masjid yang dilanda Tsunami di Palu, Sulawesi Tengah. - Gambar AFP, 26 Mac, 2019.

SELEPAS enam bulan gempa bumi dan tsunami melanda Palu, Indonesia, ribuan kanak-kanak masih tinggal di tempat perlindungan sementara, kata agensi bantuan hari ini.

Gempa bumi 7.5 magnitud dan tsunami yang melanda meruntuhkan pulau Sulawesi itu pada September tahun lalu membunuh lebih 4,300 orang, menurut agensi bencana nasional Indonesia.

Sekurang-kurangnya 170,000 penduduk di Palu dan daerah sekitar dipindahkan dan seluruh kawasan kejiranan masih musnah walaupun rutin harian sudah kembali normal di kawasan lain.

“Kita prihatin dengan nasib kira-kira 6,000 kanak-kanak yang masih menginap di penginapan sementara dan beribu lagi tinggal di rumah yang sudah musnah,” kata Tom Howells dari Save The Children.

Salsa, 10, dan ibu bapanya tinggal di dalam khemah berlantaikan tanah sejak tsunami meranapkan rumah mereka di Donggala.

“Kami guna lampu bateri di sini.

“Seringkali ketika tidur, ada banyak tikus,” katanya.

Hujan monsun menyebabkan wabak malaria dan demam denggi melanda penduduk sekitar.

Gempa bumi yang melanda Palu September lalu menyebabkan seluruh kawasan musnah.

Palang Merah mengatakan proses pemulihan sedang dijalankan perlahan-lahan dan sering kompleks.

“Bagaimana anda dapat membina semula pantai, bandar dan komuniti selepas sebahagian besarnya ditelan bumi?,” kata Ketua Organisasi Indonesia, Jan Gelfand.

Selain kerosakan puluhan ribu bangunan, bencana itu juga merosakkan bot nelayan, kedai dan sistem pengairan menyebabkan ekonomi penduduk terjejas.

“Penduduk tejejas perlu pendapatan tetap bagi menjalani semula kehidupan normal,” kata Chistophe Bahuet, wakil agensi pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Indonesia menyatakan jumlah kerosakan berjumlah US$900 million (RM3.66 bilion).

Bank Dunia telah menawarkan pinjaman sehingga AS$1 bilion untuk memulihkan kembali bandar itu. – AFP, 26 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen