Hadi hidup pada zaman lampau, politik PAS masih kabur


SAYA tekun membaca tulisan terbaharu Abdul Hadi Awang, presiden PAS yang bertajuk “PAS bersama Islam dan Kontrak Sosial”, sebaik menemui tulisannya itu di Facebook beliau. Ia minda presiden PAS, walaupun penulisnya boleh jadi berbeza.

Beliau memulakan tulisannya dengan mengajak kita berundur jauh ke belakang. Itulah cara penulisan beliau sekian lama yang menampakkan kedudukan beliau yang sukar keluar dari zaman silam dan kejadian-kejadiannya. Beliau mendakwa umat Islam dihalang daripada beramal dengan ajaran Islam.

Jika boleh ditanya kepada beliau, saya ingin menyampaikan soalan, siapakah yang kini sedang menghalang PAS daripada melaksanakan Islam sepenuhnya? British? Tunku Abdul Rahman? Dr Mahathir Mohamad atau kerajaan BN yang diperintah oleh Najib?

Jangan kerap menyalahkan Suruhanjaya Reid. Ia sejarah yang sudah lama berlalu. Jika jawapannya DAP dan Pakatan Harapan, saya tiada komen tambahan tentang itu. Cuma saya suka mengungkit satu persoalan, siapa yang menangguhkan buah yang ranum masak 355 daripada dipetik sehingga kini ia jatuh layu ke bumi? Namun ada yang masih cekal melaung: Hidup Islam. Hidup Hadi!

Hadi kerap mengulangi poin lama berkaitan kelemahan Suruhanjaya Reid dalam menyusun perlembagaan. Beliau seorang pemimpin besar di negara ini yang gagal memberikan idea bernas dalam pengurusan negara pada masa kini. Jauh sekali jika diminta memberi pandangan futuristik bersesuaian dengan keperluan akan datang.

Hadi masih hidup pada zaman lampau. Hujahnya kerap diikat dengan peristiwa lampau tanpa melihat secara terperinci dan lumat, permasalahan semasa negara termasuk partinya sendiri.

Hujah keduanya dalam artikel tersebut malah di mana-mana pun, setiap kali bercakap tentang PAS dan politiknya, beliau akan melaungkan Islam memang mampu menangani keperluan semasa kerana Islam itu lengkap dan sempurna.

Sambil beliau memejamkan sebelah mata terhadap kegagalan Kelantan dalam konteks ekonomi dan sosial. Kegagalan Terengganu terus maju bersama Islam kerana lemahnya beliau menjaga sebuah negeri.

Isu negara dan kenegaraan pada hari ini, bukanlah pada ketidakyakinan umat dan kerajaan kepada Islam. Umat Islam sedar tentang kesempurnaan agama ini. Berbeza 30 hingga 50 tahun lampau. Kerana itu saya kira Hadi masih hidup dalam zaman lampau. Zaman beliau mula muncul sebagai pemidato hebat Malaysia.

Kepincangan Malaysia kini adalah pada kegagalan berkaitan nilai dan integriti yang hilang. Korupsi berlaku secara berleluasa. Baik di kalangan yang faham konsep politik Islam mahupun yang cuba menjauhi nilai agama secara sengaja.

Nilai sedemikian, jika tiada pada sebuah kerajaan akan membawa negara ke arah kehancuran, walaupun ada termaktub dalam perlembagaannya sebuah undang-undang Islam yang dirujuk kepada Al-Quran dan Sunnah.

Beliau kemudian mendakwa PAS berjuang secara demokrasi seperti mendakwa hanya dia saja menggunakan komputer dan orang lain tidak tahu malah menolak penggunaan komputer. Untuk pengetahuan Hadi, tiada satu pun parti politik di Malaysia ini menolak sistem demokrasi. 

Ia bukan sesuatu yang hebat untuk diperkatakan oleh seorang pemimpin hebat seperti beliau. Barangkali penulis artikel beliau ini terkhilaf dalam perkara ini.

Sampah – label baharu yang digunakan Hadi, ulama dunia yang menetap di Marang terhadap individu tertentu dalam partinya, sama ada yang masih kekal atau sudah keluar. Hadi dan pemimpin nasionalnya sentiasa melihat lawan mereka kecil, rendah, leceh, kebinatangan dalam perumpamaan dan sebagainya. Sombong dengan kekuatan parti walaupun tanpa kerusi.

Konsep kekuatan bagi PAS memang agak unik. Kuat itu dimaksudkan pada kekuatan beribadah, berhujah, beristiqamah, berprogram dan seumpamanya. Tetapi jika masih mendakwa kuat dalam politik dan pengaruh kemasyarakatan walaupun tanpa undi dan kerusi yang signifikan, itu hanyalah dakwaan palsu.

Seperti palsunya dakwaan PAS bahawa parti itu kini sedang bergerak ke arah konsep taawun yang bernilai matang lagi sejahtera. Orang yang dalam kesejahteraan sempurna, tidak memerlukan kepada celaan, label dan serangan keras tanpa bukti, seperti hamburan Hadi terhadap DAP dan Pakatan Harapan.

Apabila beliau mendakwa ada parti yang ditubuhkan selepas merdeka mahu merungkai perlembagaan yang berkonsep kontrak sosial antara kerajaan dan rakyat, khususnya terhadap Islam dan kedaulatan, beliau perlu memberi nilai tinggi dakwaan itu dengan menamakan parti tersebut serta bukti yang sah. Tanpa itu, beliau hanya merosakkan nama baik dirinya dan PAS.

Sekejap, apakah maksud Hadi apabila menyebut perlembagaan yang berkonsepkan kontrak sosial antara kerajaan dan rakyat, khususnya terhadap Islam dan kedaulatan? Ia mengelirukan. Mungkin beliau perlu menjelaskan lebih lanjut.

Kebiasaannya para pengkaji dan pakar menyebut kontrak sosial dalam perlembagaan negara dirujuk kepada dua perkara. Kesediaan kaum Melayu menerima kaum lain sebagai warganegara dengan syarat yang longgar dan persetujuan kaum lain terhadap kaum Melayu dan asal berkaitan keistimewaan yang sedia maklum dalam perlembagaan.

Diteliti lanjut minda Hadi, jelaslah beliau memaksudkan kekuatan PAS hanya pada kemampuannya untuk hidup. Itu saja. Kerana itu apabila PAS kalah, masih dianggap kuat. Selepas berpecah pada 2015 masih dihitung kuat. Menang pilihan raya kuat. Kalah pun masih kuat.

Bayangkan PAS yang sebegini minda dan keyakinannya memerintah sebuah negara seperti Malaysia yang telah berjaya dalam pelbagai aspek, kemudian bertukar menjadi sebuah negara yang gagal, tewas dan malang .

Baik dalam ekonomi, perniagaan, kemajuan mahupun ketenteraan. Apa anda fikir jawapan [residen PAS jika beliau masih bernyawa? Apakah beliau akan menegaskan, biarpun semua itu berlaku, PAS tetap kuat. PAS belum terkubur, dan akan bangkit semula. Tanpa ada rasa kesal dan sedih terhadap apa yang berlaku? Seperti sikap yang langsung tidak rasa bersalah atas kehilangan Terengganu.

Di hujung-hujung artikelnya, beliau menuduh Pakatan Harapan tiada harapan dan mengamalkan konsep matlamat menghalalkan cara yang lemah. Pendek kata, PAS tidak akan bersama dengan DAP yang sekular dan PKR serta Amanah yang sanggup menggadaikan agama. Apabila ditanya keberadaan PAS dalam kerajaan Selangor, apakah jawapan Hadi?

PAS berkeyakinan terhadap Islam itu sangat baik. Bagaimana jika ada parti lain yang turut berkeyakinan sama tetapi ia sebuah parti yang lain daripada PAS? Apa sikap PAS terhadap mereka? Sedangkan Hadi sendiri menutup artikelnya dengan ayat berkaitan perdamaian.

Beliau malah mengajak kepada perdamaian itu. Apakah ia dipraktikkan oleh PAS? Atau yang dimaksudkannya adalah perdamaian dengan Umno saja?

Masa akan memaparkan minda seterusnya Hadi berkaitan politik PAS yang masih kabur, tuduhan, konsep taawun bersama Umno dan maksud sebenar ungkapan Islam didahulukan dan kerusi di belakangnya. – 12 September, 2017.

* SM Lebai ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen