Dalam sehari, remaja samun, culik, cabul dan sebabkan kemalangan maut


POLIS menahan seorang remaja lelaki hari ini, yang disyaki menyamun, membawa lari dan melakukan jenayah seksual terhadap seorang remaja perempuan serta terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan seorang lelaki maut. 

Ketua Polis Daerah Bera Mansor Samsudin berkata suspek yang berusia 16 tahun itu ditahan di ladang kelapa sawit sekitar Taman Merbau dan Kampung Menteri di Bera, pada 3 petang, iaitu beberapa jam selepas dia dipercayai melakukan jenayah tersebut. 

Katanya, suspek yang beralamat di Bera dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Triang, Bera pada 9 pagi dengan bersenjatakan pisau yang digunakan untuk menakutkan remaja perempuan berusia 14 tahun yang tinggal di situ. 

“Suspek dipercayai mengejutkan mangsa yang tidur di ruang tamu dan mengarahkannya untuk menyerahkan dompet milik ibunya yang mengandungi wang berjumlah RM560, sebuah beg berisi duit syiling RM160 dan sebentuk cincin.

“Dia kemudiannya melarikan mangsa yang diikat pada tangan dan mulut menggunakan kain dengan menaiki kereta jenis Toyota Camry milik bapa mangsa, dipercayai menuju ke arah Temerloh,” katanya semasa dihubungi Bernama hari ini. 

Mansor menambah kereta yang dinaiki mereka bagaimanapun terlibat dalam kemalangan di jalan berhampiran simpang Kampung Menteri, Triang pada 9.30 pagi yang menyebabkan seorang penunggang motosikal Muhammad Deris Abu Tak, 44, maut. 

Muhammad Deris disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Triang dan suspek bertindak meninggalkan kereta itu di bahu jalan dengan mengarahkan mangsa mengikutnya. 

“Mangsa mendakwa dibawa ke ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira 1 kilometer dari kawasan kemalangan sebelum mereka berhenti di sebuah pondok di bukit di situ. 

“Mangsa juga mendakwa diarahkan untuk melakukan seks oral sebelum suspek menyuruh dia pulang selepas mengugutnya supaya tidak membuat laporan polis,” katanya. 

Mansor menambah suspek akan direman esok, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak, Seksyen 362 kanun sama iaitu melarikan orang dan Seksyen 377B kanun sama atas kesalahan melakukan seks luar tabii. 

Beliau menambah siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 6(1) Akta Senjata Berjadual dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama, 23 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen