Bagaimana keluarga 5-7 beranak berbelanja


The Malaysian Insight

Kebanyakan responden yang ditemui memberitahu mereka terpaksa berjimat cermat sementara menanti gaji bulan berikutnya dan hanya sedikit yang dapat disimpan untuk digunakan semasa kecemasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2017.

Dengan kos sara hidup jadi perhatian utama rata-rata rakyat Malaysia, The Malaysian Insight menjenguk beberapa keluarga di segenap pelosok negara bertanya bagaimanakah mereka berbelanja. Kami memilih isi rumah dengan pendapatan keseluruhan antara RM3,000 hingga RM4,000, antaranya untuk mewakili mereka yang tergolong dalam kelompok 40% isi rumah terendah (B40) yang mempunyai pendapatan bulan kurang daripada RM3,900.

Kelompok pendapatan ini juga termasuk dalam senarai layak terima skim Bantuan Rakyat 1Malaysia Kategori 2 yang menerima RM900 setahun, tiga kali bayar. Dalam laporan dua bahagian yang disiarkan hari ini dan esok, kami mengajak anda melihat bagaimana isi rumah dalam kelompok pendapatan ini tetapi dengan saiz yang berbeza menguruskan perbelanjaan, menambah pendapatan sampingan dan bagaimana pula berdepan saat-saat kecemasan.

BAGI Nassir Abdullah dari Perak, keluarganya reda dengan apa yang ada dan selama ini tidak pernah lagi merasa tidak cukup biarpun hanya sedikit duit berbaki di tangan selepas habis berbelanja membeli barang keperluan bulanan.

Siti Aishah Ramli di Kuching pula selalu berdoa memanjatkan kesyukuran setiap akhir bulan kalau setiap bulan itu berlalu tanpa ada apa-apa kecemasan.

Menurut sebuah laporan Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) pada 2017, kebanyakan isi rumah B40, seperti Nassir dan Siti Aishah, membelanjakan hampir 80% pendapatan mereka untuk barangan keperluan.

“Perbezaan antara pendapatan dan perbelanjaan isi rumah kumpulan B40 ini menunjukkan kos sara hidup tinggi dan ada ruang yang terhad untuk menyimpan demi masa depan,” kata laporan MIER itu.

Memang betul. Begitulah. Kebanyakan mereka yang ditemui memberitahu mereka hidup dari gaji bulan ke gaji bulan dengan sesetengahnya melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan. Hanya sedikit yang dapat menabung untuk kecemasan dan keraian.

KEDAH

Pemandu jengkaut, R. Kumar, 50, dari Taman Tiong, Kulim membawa balik RM3,000 sebulan. Dia seorang saja yang bekerja untuk menampung hidup tujuh beranak dengan semua kelima-lima anaknya masih bersekolah. Isterinya tidak bekerja, suri rumah sepenuh masa. Dua anaknya yang tua belajar di politeknik dan bekerja sambilan untuk belanja sendiri.

Di rumah Kumar, belanja runcit sebulan mencecah sampai RM1,000 manakala biaya pinjaman perumahan RM1,200 sebulan.

Baki gajinya digunakan untuk petrol (RM200), tuisyen anak sekolah (RM200), air api (RM150), WiFi (RM120) dan Astro (RM110).

Kata Kumar, keluarganya membeli barang makanan asas seperti sayur, ikan, ayam, beras dan minyak masak.

Barang makanan paling mahal yang mereka beli adalah minuman coklat bertenaga, Milo dan susu tepung Anlene.

“Sesetengah barang kita masih perlu beli walaupun harga naik. Macam Anlene. Kami cuma beli dalam kuantiti yang kecil,” katanya apabila ditanya adakah apa-apa barang yang tidak lagi mereka beli kerana terpaksa berjimat.

Mereka lebih suka berbelanja di kedai runcit, pasar dan kedai ECO, yang menjual barangan rata-rata pada harga RM2.12.

Kumar tidak ada kad kredit dan setiap akhir bulan, hampir tak ada duit lagi untuk dia simpan.

“Kalau ada kecemasan dan perlukan duit, saya pinjam daripada majikan. Nanti cukup bulan, potong daripada gaji,” katanya.

PERAK

Nassir Abdullah yang reda dengan apa yang ada menjual roti di Simpang Pulai. Gajinya, tidak termasuk komisyen, RM1,900 sebulan.

Kalau hari baik, komisyen jualan rotinya boleh melonjakkan pendapatan bulanannya sampai RM4,000 tetapi lazimnya setiap bulan dia dapat RM3,000. Isterinya menampung pendapatan keluarga dengan menjaga budak, dapatlah lagi RM1,000.

“Bulan Februari lepas, saya sakit jantung, dua minggu tak kerja. Tak adalah komisyen apa-apa. Tapi ada rezeki orang datang ziarah dan sedekah,” kata bapa 48 tahun ini.

Sebahagian besar perbelanjaan rumahnya habis untuk belanja sekolah anak yang berumur 20, 18 dan 16. Anak Nassir belajar tahfiz dan tinggal di asrama. Belanja untuk ketiga-tiga anaknya itu RM1,600 sebulan.

Berdepan situasi kecemasan seperti anak sakit menjadi kerisauan paling utama walaupun mempunyai simpanan tetapi bimbang ia tidak mencukupi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2017.

Pinjaman rumah RM550 manakala belanja makan lebih kurang RM450 tetapi kalau anak-anak balik bercuti, belanja makan jadi lebih tinggi.

Baki lebih kurang RM1,000 itulah digunakan untuk air api, petrol, makan di luar kalau dia bekerja dan sedekah. Kata Nassir, dia selalu ke masjid dan percaya bersedekah kepada orang semana yang ada dan tidak perlu tunggu jadi berada baru hendak bersedekah.

“Alhamdulillah, isteri saya jaga budak sebabnya kami selalunya kering sebelum hujung bulan. Emak ayah budak-budak yang dibela itu kerja kerajaan. Mereka dapat gaji sebelum akhir bulan. Itulah yang menampung kekurangan,” katanya.

Kalau ada kecemasan misalnya kereta rosak atau masuk hospital, Nassir mengaku dia tidak ada simpanan.

“Tetapi selalu akan ada duit datang kalau waktu-waktu begitu. Itulah berkatnya sedekah,” katanya.

NEGERI SEMBILAN

Kakitangan awam, Sham, yang tidak mahu nama penuhnya didedahkan, berkata gaji bulanannya RM2,500. Dia menampung keperluan dengan memasang dan mencuci alat pendingin hawa pada hujung minggu, dapatlah RM1,000 kalau bulan baik. Selalunya, dapatlah beberapa ratus ringgit.

Dia juga masuk wataniah; ada elaun RM6 sejam atau RM60 sehari kalau dia lapor diri di kem pada hujung minggu. Kalau dua hujung minggu dia duduk di kem, bolehlah dapat RM240 sebulan.

Dia seorang menanggung nafkah keluarga lima beranak. Sham tinggal di Labu, Negeri Sembilan. Dia berulang alik 40 minit dengan motosikal ke pejabatnya di Kajang. Tiga anaknya berumur tujuh, empat dan dua tahun. Isterinya mengajar anak-anak jiran mengaji Al-Quran, dapatlah tidak lebih RM100 sedekah orang.

Gaji Sham habis untuk bayar hutang rumah daripada pinjaman kerajaan sebanyak RM680, pinjaman kereta (RM650), pinjaman motosikal (RM220), barang runcit (RM500) dan petrol (RM200).

Barangan paling mahal dalam senarai perbelanjaan bulanannya ialah lampin pakai buang dan susu tepung untuk dua anak kecilnya.

“Kami biasanya beli di NSK, lebih murah daripada Mydin. Barang basah macam ikan dan sayur segar. Tetapi ikan mahal. Kami biasa beli yang jual longgok, selonggok RM5 atau RM10.

“Kami tak beli ikan timbang sebab di luar kemampuan,” kata Sham, yang jarang-jarang sekali, beli ketam.

Selain keperluan harian, Sham jarang beli pakaian sendiri melainkan sudah tidak boleh dipakai.

“Paling-paling pun beli setahun sekali. Itupun saya beli di Triang, dekat dengan kampung. Kalau perlu beli pakaian di sini, saya beli di Mydin. Pakaiannya murah.”

Tidak lama lagi Sham akan tamat wataniah dan dia sudah mula latihan untuk jadi anggota pertahanan awam sementara. Kalau sudah dapat lencana, dia boleh bekerja hujung minggu dengan elaun RM6 sejam.

Untuk kecemasan, Sham hanya ketawa: “Budget lari, lah. Kena pinjam adik beradik.”

JOHOR

Hidup Janice Quek, ibu kepada tiga anak, tidaklah seteruk ini dahulu. Tiga tahun lalu, Quek dan suaminya yang bekerja sebagai pejaga mesin mempunyai pendapatan bersama lebih kurang RM4,000 sebulan.

Tetapi pada 2104, suaminya kemalangan dan sejak itu tidak lagi bekerja.

“Payah,” kata Quek. “Walaupun duduk di Muar, saya kena berjimat.”

Wanita 38 tahun itu sekarang menanggung hidup mereka lima beranak dengan melakukan dua kerja. Siang dia jadi kerani pejabat; malam, dia jadi “broker”.

“Kalau ada orang cari rumah sewa atau mahu beli kereta atau cari perkhidmatan cetak, saya perkenalkan mereka,” katanya.

Quek dapat gaji lebih kurang RM1,600 sebulan. Dia sudah 10 tahun bekerja di pejabat yang sama. Dengan kerja sambilannya itu, dia dapat antara RM500 hingga RM800 sebagai tambahan.

Keluarganya tidak lagi mampu untuk pergi bercuti, apalagi membeli pakaian baru atau makan di luar. Pendapatan bulanannya termasuk kerja sementara itu tidak lebih RM2,500.

“Kita pakai baju selagi boleh. Anak-anak akan ambil pakaian abang kakaknya.”

Gaji Quek sebulan dibelanjakan untuk pinjaman rumah (RM1,000), petrol (RM300), air api dan telefon (RM300), tuisyen anak-anak (RM200) dan makanan (RM500-RM600).

“Ibu mertua saya memasak untuk kami dan kami beri dia duit. Tetapi saya rasa dia belanja lebih banyak daripada yang kami beri,” kata Quek.

Belanja dua anaknya yang bersekolah, Quek hanya memberi RM1 seorang sehari.

“Mujur kerja saya ini fleksibel. Bolehlah saya lari hantar dan ambil dari sekolah. Adalah berjimat sikit,” katanya.

SARAWAK

Setiap bulan, Siti Aishah Ramli risau akan keretanya dan selalu berdoa keretanya tidak rosak di tengah jalan.

“Saya pakai kereta untuk kerja, jadi kalau rosak saya kena korek tabung untuk baiki kereta,” kata ibu anak seorang, berumur 29 tahun ini.

Dia eksekutif komunikasi korporat di sebuah persatuan pembeli dan pengimport kereta di Kuching. Gaji bersihnya RM3,000 sebulan.

Pendapatan suaminya lebih kurang sama tetapi dia perlu menampung keluarganya, sama seperti Siti Aishah juga. Siti Aishah dan suami serta anak perempuan mereka yang berumur dua tahun tinggal bersama ibu bapanya.

Mereka lima beranak tinggal di Kampung Surabaya Ulu, di seberang Sungai Sarawak mengadap bandar raya Kuching.

Eloknya tinggal bersama keluarga ini Siti Aishah tidak perlu memikirkan tentang sewa. Dia juga tidak perlu bimbang tentang kos perubatan kerana ditanggung oleh majikan suaminya, syarikat tenaga Sarawak Energy Bhd.

Dia bagaimanapun perlu membayar bulanan pinjaman kereta (585), pinjaman pendidikan  PTPTN (RM170), bil air api dan WiFi  (RM500), barangan runcit (RM400), keperluan anaknya (RM300) dan petrol (RM300.

“Semua ini makan dua pertiga gaji saya. Tinggal beberapa ratus ringgit untuk kecemasan dan beli makanan macam ikan, ayam dan daging yang baik sedikit.”

Untuk berjimat, Aishah berbelanja di tempat yang dia tahu murah dan berbaloi, walaupun terpaksa memandu agak jauh sedikit berbanding berbelanja dekat dengan rumahnya.

Dia jarang keluar dengan kawan-kawannya dan makan di luar juga sudah jarang-jarang. Keadaan sekarang “masih baik” tetapi dia risaukan masa depan apabila anak perempuannya meningkat umur dan memerlukan belanja tadika dan sekolah.

Kos persekolahan anak-anak menjadi keutamaan ibu bapa yang memerlukan peruntukan besar daripada sumber pendapatan isi rumah terutama bagi yang belajar di institusi pengajian tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2017.

Kalau ada kecemasan, dia akan meminta bantuan ibu bapanya selepas habis semua ikhtiar.

“Saya tahu mereka sudah lama bersara tetapi merekalah orang pertama yang saya cari kalau terdesak kerana saya boleh berharap pada mereka dan kerana mereka juga tahu mereka boleh dapat duit itu semula.”

SABAH

Isteri BJ Rudy Baba berhenti bekerja enam bulan lalu untuk membesarkan dua anak remajanya berumur 13 dan 15 tahun.

Dia tinggal di Penampang di sebuah apartmen seluas 750 kaki persegi, wanita berusia 38 tahun tahun itu ada dua sumber pendapatan sampingan untuk menampung gajinya RM3,000 sebagai kakitangan awam kolar biru.

“Saya memandu perkhidmatan tumpang kereta pada waktu malam dan jual gitar elektrik dan alat muzik lain melalui media sosial dan dalam talian.

Katanya, dia bersyukur dengan pendapatan sampingan yang membolehkannya bernafas apabila tanggungan bulanannya melebihi gaji.

Setiap bulan, belanja barangan runcit untuk sebuah keluarga mencecah hampir RM2,000, bil air api termasuk Internet (RM750) dan pinjaman rumah dan kereta (RM1,200).

Harga ikan segar di Kota Kinabalu purata sekitar RM10 hingga RM25 setiap kilogram, manakala ayam sekitar RM10 hingga RM13, daging sekitar RM19 hingga RM21 dan sayur sekitar RM3 hingga RM6.

“Yang paling mahal dalam senarai barangan runcit saya ialah beras. Saya ada kencing manis jadi saya beli beras jenis khas yang harganya RM40 untuk lima kilogram,” katanya.

Dia juga sudah memotong langganan Astro yang dianggapnya “mewah”.

“Pada masa ini syarikat saya menanggung rawatan kesihatan untuk saya dan keluarga. Tetapi kalau ada kecemasan, walaupun jarang, saya terpaksa guna kad kredit,” katanya. – 11 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen