⁠⁠⁠Najib ke Washington untuk jet, persahabatan dan selfie


Jahabar Sadiq

Pertemuan Perdana Menteri Najib Razak dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa ini akan menyaksikan sejauh mana hubungan rapat antara mereka berdua dan bagaimana saman Jabatan Kehakimanan negara itu dapat diselesaikan dengan segera. – Gambar fail AFP, 11 September, 2017.

JET Boeing, jet pejuang, penentangan terhadap keganasan, perkongsian perisikan terhadap Korea Utara, situasi Rohingya di Myanmar.

Ini adalah perkara yang akan dibincangkan oleh Perdana Menteri Najib Razak dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ketika bertemu di White House esok.

Di sebalik semua ini hanya satu matlamat: bagaimana perdana menteri keenam Malaysia itu benar-benar seorang sahabat kepada Trump dan isu Jabatan Kehakimanan (DoJ) dapat diselesaikan dengan segera.

Bagaimanapun bagi AS, perdagangan dan pelaburan serta memerangi keganasan dan mengasingkan Korea Utara adalah jauh lebih penting sekarang berbanding saman DoJ dan siasatan jenayah berpusat terhadap wang yang didakwa disalurkan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

The Malaysian Insight difahamkan yang syarikat penerbangan bermasalah Malaysia Airlines mungkin menandatangani sehingga 50 Boeing 787 Dreamliners bagi laluan jarak jauh yang ingin dimulakan semula sebagai sebahagian satu lagi Tawaran Awam Permulaan (IPO).

Kerugian dialami syarikat penerbangan negara akibat kehilangan pesawat dan sebuah lagi yang ditembak jatuh dalam jangka masa hanya beberapa bulan pada 2014, memburukkan lagi masalah masalah kewangan yang dihadapi.

Ia mengurangkan penerbangan, pesawat dijual, membuang pekerja dan mengambil suntikan bantuan sebanyak RM6 bilion bagi memulihkannya kembali oleh pemiliknya, Khazanah Nasional Berhad.

Difahamkan juga Putrajaya akan membeli jet pejuang daripada AS, mungkin F/A-18 untuk melengkapkan lapan McDonnell-Douglas F/A-18D yang dibeli dan diterima pada 1997.

Malaysia sebelum ini menangguhkan rancangan bernilai AS$2 bilion (RM8.4 bilion) untuk menggantikan pesawat tempur yang semakin uzur bagi mempertingkatkan keupayaan pengawasan udara untuk menghadapi ancaman militan yang semakin meningkat yang dicetuskan kumpulan Islamic State (IS), lapor Reuters pada Julai.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempertimbangkan merit bagi jet Rafale daripada Perancis dan Eurofighter Typhoon, dibina oleh BAE Systems, di samping rancangan membeli 18 jet untuk menggantikan jet pejuang MiG-29 Rusia – yang hampir separuhnya tidak boleh digunakan.

Turut difahamkan Putrajaya sedang mencari peluang pelaburan di AS, terutamanya dengan pengukuhan ringgit baru-baru ini. Dana pencen terbesar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai aset besar di AS dan mungkin menambah lagi pelaburan, kata sumber.

Selain senarai pembelian itu, Najib akan membincangkan kerjasama memerangi keganasan, terutamanya IS, yang menyokong pemberontakan di selatan Filipina dan mungkin memanjangkannya  mengenai kejadian terbaru di negeri Rakhine, Myanmar.

PM dijangka membincangkan isu Rohingya dengan Trump, selepas keganasan terbaru yang menyebabkan hampir 300,000 pelarian ke Bangladesh dan mungkin ke tempat lain jika serangan ketenteraan Myanmar terhadap kumpulan pelampau terus berlanjutan.

Pertemuan di White House antara kedua-dua pemimpin esok juga akan berkisar mengenai Korea Utara, yang menguji roket jarak jauh dan mengancam untuk melancarkannya ke negara-negara jiran termasuk Guam, yang ditadbir oleh AS.

Putrajaya dan Pyongyang sejak sekian lama mempunyai hubungan rapat sehinggalah pembunuhan Kim Jong-nam pada Februari, abang sebapa pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Kerjasama AS-Malaysia dan lawatan Najib ke White House adalah langkah kerajaannya untuk menunjukkan nilai dan keintimannya dengan Washington menjelang pilihan raya umum yang perlu diadakan menjelang Ogos 2018.

Segala usaha Najib ini disebabkan skandal 1MDB bersama hutang yang perlu diselesaikan dengan penjualan aset dan pemindahan wang kepada akaun bank swastanya yang tidak dapat dijelaskan. Najib menafikan sebarang kesalahan.

Siasatan AS adalah sebahagian usaha global untuk mengesan berapa banyak daripada jumlah AS$ 6 bilion daripada 1MDB yang diambil bagi projek pembangunan yang digelapkan atau terlibat dalam pengubahan wang haram.

Pembangkang juga menganggap lawatan ke White House ini sebagai “memalukan”, memandangkan tuduhan DoJ terhadap Najib sebagai seorang kleptokrat, mengatakan “Malaysian Official No.1” (MO1) sebagai benefisiari utama aset yang diburu.

Pada September tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan mengesahkan MO1 adalah Najib. – 11 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Dpn Trump Najib mo1 akan nyanyi 'pls release me let me go for i will always on ur knees

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan