Isu ekonomi masih jadi kebimbangan penduduk Muar


Chan Kok Leong

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bertemu pengundi Cina di Bukit Pasir, Muar pada 9 September. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 September, 2017.

WALAUPUN janji untuk memastikan mereka yang terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dibawa ke muka pengadilan menjadi tajuk berita semalam, ekonomi masih menjadi kebimbangan kepada penduduk di utara Johor.

Dalam ucapannya pada sambutan ulang tahun pertama Bersatu di Muar pada Sabtu, Muhyiddin Yassin berjanji yang Pakatan Harapan (PH) akan menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), pembaharuan institusi kerajaan, dan memulakan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai 1MDB dalam tempoh 100 hari pertama berkuasa.

Tetapi janji-janji itu tidak mengujakan penduduk penduduk Bukit Pasir, M Jegatheeswaran, walaupun beliau berkata ia adalah permulaan yang baik.

“GST bukan masalah utama tetapi gaji. Saya bekerja selama 20 tahun dan gaji saya hanya RM2,000 sebulan,” kata Jegatheeswaran yang bekerja sebagai mandur.

Beliau berkata jika upah lebih tinggi, GST tidak akan begitu menimbulkan masalah kepadanya.

Pencari nafkah berusia berusia 40 tahun yang mempunyai seorang anak ini berkata gajinya tidak berubah sejak lima tahun lalu.

“Saya bersedia memberi orang lain (PH) mencuba,” kata Jegatheeswaran, selepas bergambar bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Jegatheeswaran hadir ke kedai kopi di Bukit Pasir petang semalam untuk mendengar ucapan pemimpin PH.

M Jegatheeswaran mengakui bersedia memberi peluang kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 semasa ditemui di Bukit Pasir, Muar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 September, 2017.

Selain Lim, pemimpin lain ialah Ahli Parlimen Pagoh dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa, Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Betayan Chua Wee Beng.

“Saya tidak peduli terhadap tuduhan rasuah oleh Barisan Nasional (BN). Ramai yang korup tetapi saya mahu mereka menjadikan ekonomi lebih baik dan saya mahu menguji mereka kali ini.

“Ekonomi sangat buruk sekarang. Gaji saya naik dengan perlahan semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad apabila kita masih dapat menyimpan dan membeli sebuah rumah.

“Saya hanya memperoleh pendapatan RM1,000 tetapi saya boleh menyimpan. Sekarang gaji saya RM2,000 tetapi keluarga saya tidak dapat menyimpan apa-apa. Mereka kini menaikkan harga petrol setiap minggu dan selepas itu semua orang perlu berlari ke stesen untuk mengisinya sebelum harga naik,” kata Jegatheeswaran yang mengundi BN pada empat pilihan raya sebelum ini.

Pemilik kedai pembaiki kereta, Lim dan isterinya, Angeline, berkata GST tidak menjejaskan perniagaan mereka dalam tempoh dua tahun lalu.

“Orang ramai masih perlu membaiki dan menyelenggara kereta mereka apabila sampai masanya,” kata Lim sambil menikmati makan tengahari di kedai kopi yang sama di Bukit Pasir.

Bagaimanapun, Angeline menyatakan makan di luar bagi keluarga tiga beranak itu semakin mahal sejak tahun lalu dengan kadar “6% GST dan caj perkhidmatan sebanyak 10%”.

Di barisan kedai yang sama, Muhyiddin turut mengadakan sesi pertemuan kedua di Bukit Gambir semalam, ahli farmasi Siow Ruey Feng mendapati beberapa janji yang dibuat oleh PH menarik.

“Saya rasa sudah tiba masanya mereka memisahkan jawatan menteri kewangan dan perdana menteri. Bagaimana hendak mendapatkan idea baru serta semak dan imbang jika kedua-dua jawatan itu dipegang orang yang sama,” kata Siow yang hadir di situ sebagai pelanggan.

Lim Guan Eng berucap kepada orang ramai dan pelanggan di sebuah kedai di Muar, Johor pada 9 September lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 September, 2017.

Siow berkata Malaysia harus mencontohi negara seperti Hong Kong dan Taiwan yang mengasingkan kedua-dua jawatan itu.

“Saya juga suka dengan janji PH untuk menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal. Terdapat cukup mereka yang berkelayakan di negara ini untuk mengambil alih.”

Mengenai perniagaan, Siow berkata GST menjejaskan perniagaan farmaseutikal.

“Pelanggan mengurangkan pengambilan makanan tambahan dan mereka tidak lagi banyak berbelanja kepada produk penjagaan kecantikan. Ketika GST mula-mula dilaksanakan dahulu, kami menyaksikan penurunan jualan sebanyak 30%.”

Walaupun tiada GST dikenakan terhadap sayur-sayuran, pemborong K.H. Lee berkata penduduk Muar mengurangkan pembelian sayur-sayuran yang diimport sebanyak 30%. – 11 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen