Marina Pulau Mentagor terbiar, PAC gesa YTL Group disiasat


Marina di Pulau Mentagor bertujuan merangsang industri kapal layar dan pelancongan marin di kawasan itu. – Gambar YouTube, 18 Mac, 2019.

JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan Putrajaya menyiasat pemaju YTL Group berhubung pembinaan marina awam di Pulau Mentagor, Perak yang tidak pernah beroperasi sejak disiapkan pada 2010.

PAC membentangkan dapatannya di Parlimen berhubung beberapa projek marina yang mencetuskan kontroversi bernilai RM323.5 juta yang sebelum ini diluluskan di bawah Rancangan Malaysia kelapan dan kesembilan.

Projek itu dipetik dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017, yang dibentangkan di Parlimen pada 15 Ogos, 2018.

Daripada 11 marina yang dibina, hanya empat masih beroperasi dan lima yang lain gagal mencapai matlamat untuk merangsang industri kapal layar dan pelancongan marin di kawasan berkenaan, kata laporan jawatankuasa itu.

PAC menyatakan kebimbangan secara khusus dengan pembinaan marina awam di Pulau Mentagor yang pada awalnya hendak dibina di Lumut.

Bagaimanapun, projek itu dipindahkan ke Pulau Mentagor selepas ia diberikan kepada syarikat YTL Group menerusi kontrak rundingan langsung bernilai RM24.27 juta, katanya.

“Marina awam itu tidak pernah beroperasi dan tidak pernah digunakan selepas YTL hilang minat untuk membangunkan pulau tanpa penghuni itu.

“Susulan itu, PAC mengesyorkan Kementerian Pengangkutan menyiasat kebersalahan YTL dalam projek marina Pulau Mentagor.”

Dalam laporan ketua audit negara, kira-kira RM61.55 juta kerugian direkodkan apabila marina di Pulau Mentagor dan Kuala Kedah akhirnya hanya jadi gajah putih selepas dibina.

Jawatankuasa itu berkata ia memanggil ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan Saripudin Kassim dan Saiful Anuar Lebai Hussen dari Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk disoal siasat pada November tahun lalu berkenaan projek marina itu. – 18 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen