-2.jpg)
Saya nasihatkan Ketua Penerangan Umno Annuar Musa agar menganjurkan jelajah dialog ke seluruh pelusuk negara, membenarkan rakyat bersoal jawab berkaitan isu kenaikan kos sara hidup dan skandal 1MDB.
Nasihat ini sebagai respon kepada kenyataan beliau yang akan menganjurkan dialog “Perjuangan4all” berbentuk townhall ke seluruh negara bermula Ahad ini.
Annuar dalam kenyataan beliau menyatakan pendekatan tersebut bertujuan memberi penjelasan kepada masyarakat umum dan akar umbi mengenai kejayaan dasar transformasi Perdana Menteri dan Presiden Umno Najib Razak dan dasar pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
Saya simpati, Annuar begitu naif. Biar saya beritahu, rakyat pada ketika ini bukan mahu dengar tentang transformasi Najib. Rakyat sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup yang cukup menekan. Rakyat juga keliru kerana pada saat poket rakyat “kering”, pemimpin Umno BN diketuai Najib terpalit dengan pelbagai skandal demi memenuhkan tembolok masing-masing.
Kajian mutakhir oleh firma penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE) Ogos lalu menunjukkan 76% rakyat di negara ini amat prihatin terhadap isu kenaikan harga barangan disamping 82% menganggap perlaksanaan cukai GST sebagai punca kenaikan kos sara hidup.
Selain itu, 69% rakyat berpendapat isu skandal 1MDB yang gagal dijawab oleh Najib telah menjatuhkan reputasi beliau sebagai perdana menteri Malaysia.
Inilah kerusingan sebenar rakyat di bawah.
Oleh itu, saya ulangi nasihat saya kepada Annuar Musa. Tema jelajah “Perjuangan4all” beliau sewajarnya menjadikan isu sebenar yang melingkari rakyat sebagai asas utama.
Jika tidak, program tersebut tidak lebih sekadar satu bentuk jelajah propaganda “Perjuangan4UMNO”, untuk memanipulasi rakyat demi kepentingan Najib dan kroni-kroninya sahaja. – 9 September, 2017.
*Sheikh Omar Ali adalah penolong setiausaha publisiti DAP Johor
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen