Belasungkawa buat Pak Jabit


 “DI mana ada Suhaimi Said, di situ ada Pak Jabit”. Itu gurauan rakan-rakan mengenai hubungan akrab Pak Jabit dengan Allahyarham Suhaimi Said.

Saya mengenali Allahyarham Abd Kadir atau L.Mankadir Shamsi atau nama glamornya Pak Jabit,68, sejak arwah aktif sebagai aktivis PAS, 25 tahun lalu. Era reformasi menyerlahkan dokongan beliau terhadap idolanya, Anwar Ibrahim. Kelibat arwah bersama Suhaimi berada di mana-mana.

Saya bersama mereka berdua dalam Taskforce Felda Kerajaan Selangor. Sewaktu saya mengetuai Lajnah Pembangunan Tanah dan Orang Asal PAS Pusat, Suhaimi pula adalah Pengerusi Biro Felda & Orang Asal PKR. Tentu sekali, Pak Jabit adalah orang kanannya.

Kami bergerak seiringan ke merata Felda dan program…ceramah, dialog, ke mahkamah, Suhakam, laporan polis, himpunan dan lain-lain. 

Bila Suhaimi meninggal dunia, Pak Jabit amat bersedih hati. Dia pernah luah, mana ada orang segigih Suhaimi. Dengan ‘kereta buruknya’(bahasa arwah) bersama Kak Hendon(isteri Suhaimi) jelajah satu Malaysia. Mereka berdua sanggup berkampung berhari hari di penempatan Orang Asal, yang saya sendiri tidak mampu lakukan.

Seronok juga dengar arwah sembang mengenai dunia lakonan. Saya tanya, pembangkang macam dia ada juga pengarah filem ambil. Dia kata, Mamat Khalid (selalu ambil dia berlakon) ok. 

Alhamdulillah, dah rezeki dekat situ.

Arwah wujudkan Group WhatsApp ‘Sembang Warong Pak Jabit’, pujuk dan invite saya. Rakan Facebook dengan nama Ngah Kadir. Tiap-tiap hari update status yang sifatnya tajam dan berterus terang. Komen bagai-bagai, tapi dia layan saja.

Saya kehilangan seorang lagi rakan sehebat Suhaimi. Banyak kenangan bersamanya. InsyaAllah, jika demam selsema dan batuk batuk saya reda, saya nak ziarah keluarga dan pusaranya sehari dua ini. Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Al-Fatihah… – 7 September, 2017.                      
 

* Mazlan Aliman adalah  pengerusi Anak.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen