KENYATAAN Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi semalam bahawa undi kepada Pakatan Harapan (PH) adalah undi kepada DAP merupakan satu kenyataan berbaur perkauman dalam usaha PAS membantu Perdana Menteri Najib Razak dan Umno mengekalkan ‘survival’ politik mereka.
Kenyataan tersebut begitu meleset kerana perjuangan PH adalah bagi menyelamatkan negara daripada pemerintahan kleptokrasi Najib Razak dan Umno yang banyak melakukan jenayah rasuah dan salah urustadbir wang negara sehinggakan skandal-skandal korupsi berskala mega seperti 1MDB dan Felda mendapat perhatian antarabangsa.
Pada masa yang sama, tawaran 100 hari pemerintahan PH seperti pemansuhan GST, penyiasatan skandal 1MDB melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) dan kestabilan harga petrol serta tawaran Pemuda PH dalam isu pendidikan, pekerjaan dan perumahan adalah objektif dan hala tuju yang positif dan konkrit oleh PH dalam usaha membina semula negara bagi membebaskan rakyat daripada kezaliman dan bebanan kos sara hidup.
Ironinya, PAS hanya bergantung kepada sentimen perkauman dalam berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Keengganan PAS untuk bersama PH untuk membentuk satu barisan bersatu (united front) adalah bukti kegagalan PAS untuk bersama-sama menyelamatkan negara.
Membangkitkan isu campur tangan kuasa asing terhadap usaha PH menentang korupsi terutama skandal 1MDB adalah suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan naif tentang jenayah penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin utama negara. PAS dilihat lebih rela membiarkan kleptokrat terus berkuasa walaupun ianya bertentangan dengan syariat.
Kenyataan tersebut yang menyatakan undi kepada PH adalah undi kepada DAP adalah penekanan semula kenyataan Najib Razak dalam Perhimpunan Agong Umno 2016 yang mengatakan bahawa ketuanan PH adalah DAP.
Mungkinkah, persamaan fikrah antara PAS dan Umno sekarang hasil pendirian Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang hanya mahu menjadi penasihat merupakan suatu kemahuan dan bukan lagi kebetulan.
Rakyat terutama ahli dan penyokong PAS diharapkan membuka mata terhadap perubahan sikap PAS yang menjadi tongkat Umno dan seterusnya gagal mengangkat aspirasi rakyat yang mengharapkan perubahan dalam negara.
Memberi undi kepada PAS adalah memberi undi kepada Umno yang selama ini berjuang atas nama perkauman. Memainkan sentimen perkauman bukanlah satu sikap yang matang kerana ia tidak membawa kesejahteraan kepada negara. – 7 September, 2017.
* Faiz Fadzil adalah Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen