Apa lagi pengundi wanita mahu


Looi Sue-Chern Sharon Tan

Undi pengundi wanita amat penting pada PRU14 kerana mereka membentuk 50.5% daripada 14.4 juta pengundi di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2017.

DALAM kaji selidik pendapat umum berhubung penarafan kelulusan kerja perdana menteri dijalankan Merdeka Centre pada 2014, pengundi lelaki didapati kurang gembira dengan pencapaian Najib Razak, berbanding wanita.

Kaji selidik dijalankan dalam kalangan pengundi di Semenanjung pada Jun tahun itu mendapati hanya 39% pengundi wanita tidak berpuas hati dengan Najib, berbanding 54% pengundi lelaki. Mereka dari kawasan campuran bandar dan luar bandar.

Dalam negara di mana wanita membentuk 50.5% daripada 14.4 juta pengundi – berdasarkan kepada daftar pengundi 2016 – wanita ialah kumpulan yang perlu dipikat oleh parti bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Hampir semua wanita yang ditemu bual berkata mereka bimbang tentang ekonomi, kenaikan kos sara hidup dan pendidikan anak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2017.

Untuk melihat sekilas di mana sentimen mereka, The Malaysian Insight bertanya sedozen pengundi wanita mengenai kebimbangan utama mereka mengenai negara ini, dan hampir semua berkata mereka bimbang tentang ekonomi, kenaikan kos sara hidup dan pendidikan anak.

Ada yang kata isu perkauman terlalu berlebihan. Malah ada juga yang nampak seperti cenderung kepada pembangkang berkata mereka tidak tahu apa yang Pakatan Harapan mampu lakukan bagi mengubah keadaan itu.

Ibu vs kenaikan harga

Pengundi di Pulau Pinang, P.M. Lim bimbang mengenai kenaikan kos sara hidup akibat cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan kira-kira sembilan bulan selepas kaji selidik itu. Dia juga bimbang tentang potongan subsidi minyak yang menyukarkan lagi kehidupan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, seperti isi rumahnya.

Suaminya seorang kerani, sementara ibu dua anak dari Bukit Gelugor itu suri rumah. Lim, 44, tidak dapat bekerja sepenuh masa kerana anak bongsunya berusia lapan tahun, autistik dan memerlukan penjagaan khas.

“Duit sangat sempit. Kami terpaksa tidak menghantar terapi yang diperlukan anak seperti terapi percakapan sejak awal tahun ini. Saya juga ada seorang lagi anak perempuan berusia 11 tahun,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Lim berkata di Australia, kerajaan membantu ibu bapa bekerja yang mempunyai anak berkeperluan khas dengan menyediakan pusat jagaan.

Katanya, Malaysia tidak cukup membantu mereka yang memerlukan penjagaan khas.

“Barisan Nasional (BN) membantu menangani isu nasional tetapi sudah tentu terlalu banyak yang perlu dilakukan. Saya tidak tahu apa yang PH boleh buat sehinggalah mereka berjaya berada di Putrajaya.

“Ahli politik akan cakap saja tetapi pelaksanaan programnya, mereka ambil masa terlalu lama. Itu tidak termasuk birokrasi yang terpaksa diikuti,” katanya.

Seorang lagi ibu, Shazana Shabuddin mempunyai anak berusia dua tahun menghidap ekzema. Dia membelanjakan RM600 sebulan membeli susu dan ubat untuk anaknya.

“Sebelum ada GST, barang tidak semahal ini tetapi sejak dua tahun lalu keadaan jadi susah. Semua harga naik,” katanya.

Kos sara hidup dengan harga barangan semakin mahal akibat GST dan potongan subsidi merunsingkan wanita. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2017.

Shazana yang berusia lewat 20-an akan mengundi kali pertama pada PRU14. Katanya, dia masih belum buat keputusan.

Kerani, Yana Mohamed, 30-an, dari Kelantan bimbang gajinya tiada kenaikan sementara harga barang semuanya terus naik.

Ibu dua anak yang tinggal di Shah Alam itu membelanjakan RM700 sebulan – sejumlah besar daripada gajinya – untuk membayar yuran jagaan anak dan tadika.

“Saya sangat terasa bebanannya. Saya suka hendak jadi suri rumah dan jaga anak sendiri. tetapi itu mustahil,” katanya.

Norwati Abdul Ghani, 49, dari Perak menjual goreng pisang di Seberang Jaya, Pulau Pinang bersama suami. Katanya, dia bimbang tentang kenaikan harga barangan kerana pendapatannya berniaga di tepi jalan bukannya banyak.

Norwati Abdul Ghani dari Perak menjual goreng pisang di Seberang Jaya, Pulau Pinang bersama suami dengan pendapatan yang tidak menentu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 8 September, 2017.

Pasangan itu mempunyai tiga anak remaja dan menetap di flet PPR Ampang Jajar di mana sewanya ialah RM100 sebulan.

Katanya, persekolahan sekarang juga semakin mahal, dengan buku teks berubah setiap beberapa tahun dan anak memerlukan komputer bagi menyiapkan projek kelas.

“Tidak semua keluarga mampu beli komputer riba,” katanya yang mengundi di Batu Kurau, Larut.

Kos pendidikan tinggi juga membimbangkan Norwati yang mempunyai seorang anak lelaki yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang kejururawatan selepas tamat tingkatan lima tetapi gagal mendapat tempat dalam program kerajaan.

Keluarga itu tidak mampu menghantar anak mengikut program swasta dengan kos lebih RM50,000.

Penjual gerai makanan ringan Devi Gopal di Shah Alam juga berkata ekonomi sangat teruk apabila pendapatannya turun 60% berbanding tahun lalu selepas perniagaannya semakin merosot.

“Harga petrol naik dan turun. Harga semua benda juga naik. Gaji masih sama. Jadi saya tidak boleh naikkan harga jika mahu pelanggan terus datang.

“Saya harap kerajaan boleh buat sesuatu untuk bangunkan semula ekonomi. Tempat ini jadi senyap lepas 3 petang. Ia tidak seperti ini dulu,” katanya ketika ditemui di gerainya di bangunan PKNS.

Dengan kos sara hidup semakin meningkat, penjawat awam Siti Aishah Idris berkata dia tidak dapat memewahkan anaknya seperti dulu.

Pengundi kali pertama Annabelle Ahmad, 23, seorang pembantu jualan berkata dia berharap kerajaan akan mengembalikan subsidi minyak dan mengkaji semula peningkatan harga barang sejak GST diperkenalkan.

Kebajikan, penjagaan kesihatan dan keselamatan

Sementara itu, ibu tunggal mahu kebajikan lebih baik dan kerajaan yang memahami keperluan mereka, kata Latifah Hussainsa, 63, dari Bayan Baru, Pulau Pinang.

Aktivis sosial yang juga seorang ibu itu berkata, kumpulan wanita ini yang kebanyakannya berpendapatan rendah dan sederhana risau dengan kos sara hidup dan penjagaan kesihatan.

Katanya, ramai terpaksa bergelut dengan kesukaran dan mencari pendapatan selepas perceraian.

“Sesetengahnya masih mahu mendapatkan hak jagaan anak walaupun diri sendiri tidak tertanggung. Ada yang mempunyai anak yang sakit.

“Kebanyakannya Melayu. Terabai, miskin dan tanpa bantuan. Mereka tidak dapat rumah PPR pun.

“Tetapi kagumnya ialah kebanyakannya terus mengundi BN walaupun kerajaan pemerintah gagal membantu mereka. Sebelum ini, 80% ibu tunggal mengundi BN,” katanya.

Latifah berkata trend itu mula berubah tetapi mereka di kawasan luar bandar masih menyokong BN.

Katanya, pemberian wang tunai dan sumbangan sangat membantu ibu tunggal, tetapi wanita itu juga perlu diberikan bimbangan menerusi jaringan sokongan.

“Anda perlu ada sentuhan peribadi itu. Program terbaik ialah di mana pemimpin dan ibu tunggal boleh bertemu. Program i-Sejahtera Pulau Pinang bagus,” katanya.

Sylvia Chew, 25, berkata kerajaan perlu melakukan lebih lagi bagi meningkatkan keselamatan dan penjagaan kesihatan untuk wanita.

Katanya, wanita bimbang dengan keselamatan mereka ketika berada di luar rumah pada waktu malam, mengenai kes rogol dan keganasan rumah tangga, selain isu kesihatan.

“Kerajaan tangani risiko kesihatan tertentu seperti kanser payudara, tetapi tidak pernah menyentuh bagaimana untuk membantu mereka yang memerlukan selepas tahu isu kesihatan mereka.

“Dengan inflasi baru-baru ini, semakin ramai wanita tidak mampu menampung bil perubatan mereka,” kata eksekutif komunikasi korporat itu.

Dia juga bimbang dengan kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan dengan gaji lepasan graduan.

Ditanya adakah dia akan mengundi, pengundi kali pertama itu berkata dia tidak yakin dengan mana-mana parti politik.

“Tidak ada antara mereka yang nampaknya mampu menawarkan peluang perubahan yang baik untuk negara. Saya akan tetap mengundi, dan harap ia memberi makna.”

Meningkatkan pendidikan

Sementara itu, ibu dua anak Reena Samuel, 37, bimbang dengan masa depan anaknya dan berkata sistem pendidikan perlu ditambah baik di mana dia merasakan sistem sedia ada tidak menggalakkan kreativiti atau pemikiran kritikal.

“Sistem pendidikan kita yang ketat menghasilkan burung kakak tua dan bukan pemikir kerana fokusnya untuk menghasilkan ‘pencapaian tinggi’.

“Mereka hanya bagus dalam menjadi burung kakak tua, dan akhirnya merana di universiti atau tempat kerana di mana mereka tidak akan lagi disuapkan dengan maklumat,” kata kerani dari Bayan Baru itu.

Lim, yang menghantar anak autistiknya ke sekolah biasa berkata pendidikan di Malaysia tidak mencapai standard dunia, apatah lagi untuk anak berkeperluan khas.

“Kanak-kanak berkeperluan khas 0 autistik, hiperaktif atau menghadapi kesukaran pembelajaran – semua bercampur dalam kelas dikendalikan guru yang tidak menerima latihan mencukupi untuk menangani autisme.

“Terapi di pusat swasta sangat mahal. Selepas anak kami habis sekolah, peluang terlalu sedikit untuknya. Kami risau bagaimana dia hendak teruskan hidup bila kami tiada nanti,” katanya.

Hentikan perkauman

Samuel juga mahu sistem pendidikan membantu menghentikan prejudis kaum dan agama dengan mengajar murid untuk tidak membezakan satu sama lain mengikut bangsa dan agama mereka.

“Tidak ada agama atau kaum yang lebih tinggi. Tidak ada salahnya dengan belajar mengenai tradisi, agama dan kaum orang lain.

“Melampau bila kanak-kanak diajar yang mereka berbeza. Kita patut didik mereka jadi manusia, untuk jadi rakyat Malaysia,” katanya, merujuk kepada berita awal bulan ini di mana sekolah melabelkan cawan minum berasingan untuk murid Islam dan bukan Islam.

Wanita bimbang dengan masa depan anak mereka di mana sistem sedia ada tidak menggalakkan kreativiti atau pemikiran kritikal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2017.

Samuel berkata akses ke pendidikan tinggi juga sepatutnya berdasarkan merit dan peluang sama rata dan bukannya kuota kaum.

“Tetapi kerajaan melakukan sebaliknya. Mereka buat sistem yang mencipta generasi rasis, buli, tidak menghormati orang lain dan penting diri, yang bakal memimpin negara ini pada masa depan.”

Beliau berkata Pakatan Harapan sekurang-kurangnya mempromosikan idea “Malaysian first” walaupun dia tidak tahu apa yang boleh pembangkang lakukan untuk menghentikan situasi semasa.

“Siapa yang tahu sehingga mereka diberikan menguruskan negara. Jika mereka buat kerja teruk, undi parti lain tetapi jangan tunggu hingga terlalu lewat.
jururawat bersara Nina Eu, 70, dari Bagan, Pulau Pinang berkata dia bimbang dengan kenaikan kos sara hidup dan sentimen perkauman yang diapi-apikan oleh ahli politik, termasuk mereka di dalam kerajaan.

“Saya boleh faham jika mereka kata inflasi tidak dapat dielakkan dalam semua ekonomi. Tetapi perlukan kita terus bercakap mengenai kaum, walaupun selepas 60 tahun merdeka?”

Ibu dua anak Evelyn Chew dari Melaka berkata dia merasakan kerajaan hanya fokus kepada kaum tertentu, dan berharap generasi masa depan akan mempunyai hak sama rata tanpa mengira keturunan mereka. – 8 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen