Malaysia harus bertindak segera sokong usaha Indonesia dalam krisis Rakhine


SITUASI di Myanmar kian meruncing. Kini, dilaporkan puluhan ribu pelarian Rohingya yang terperangkap di pergunungan di antara sempadan Myanmar-Bangladesh diancam kebuluran.

Sejak kerajaan Myanmar memulakan siri tindakan ketenteraan besar-besaran yang kononnya ditumpukan kepada Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA), ratusan ribu orang awam telah terkorban dan terjejas.

Rantau ini tidak lagi boleh berdiam diri seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Pada 4 September 2017, Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo mengeluarkan kenyataan keras yang menyelar krisis kemanusian yang dihadapi oleh Rohingya di Rakhine, Myanmar.

Malah, Presiden Jokowi seolah-olah menyindir negara lain khasnya di rantau ini, dengan menyatakan bahawa krisis di Rakhine harus diselesaikan secara objektif dan bukannya sekadar kenyataan media mengecam kekejaman tersebut. Kenyataan kosong tidak akan menyelamatkan nyawa puluhan ribu yang bakal terkorban.

Jika pada tahun 2016 berlakunya demonstrasi Himpunan Solidariti Ummah dan kiriman bantuan Food Flotilla For Myanmar, kini ketika krisis Rakhine semakin tegang, tampaknya Malaysia tidak lagi “segarang” dahulu, meskipun di peringkat retorik. Apakah kempen “perpaduan ummah” pada tahun 2016 itu hanya sandiwara untuk mengolah sokongan orang Melayu pada ketika itu?

Indonesia pula tidak hanya berdabik dada mengulang-ulang retorik mual “enough is enough”. Sebaliknya, kerajaan mereka mengambil beberapa langkah konkrit dan agak kontroversi dari segi tradisi tidak campur tangan ASEAN.

Presiden Jokowi telah mengarahkan Menteri Luar Negeri Retno Marsudi untuk ke Myanmar bagi berbincang mengenai penyelesaian bersama. Malah, Retno juga mengambil langkah proaktif dengan menghubungi Penasihat Keselamatan Negara dan Menteri Luar Bangladesh berhubung misi ini. 

Indonesia juga bakal mendirikan hospital di Rakhine yang pembinaannya dijangkakan bermula pada akhir tahun ini. Tambahan lagi, Indonesia turut memulakan program Humanitarian Assistance for Sustainable Community (HASCO) untuk Myanmar bernilai AS$2 juta. Inisiatif dua tahun ini adalah sejajar dengan cadangan yang diusulkan oleh Advisory Commission on Rakhine State yang diketuai oleh bekas Setiausaha Agung PBB, Koffi Annan.

Jelas, dasar berdiam diri telah berakhir dan Indonesia telah menunjukkan kepimpinannya di rantau ini. Maka, Putrajaya tidak harus kekal berdiam diri dan mesti lebih ikhlas dalam memperjuangkan nasib mangsa pencabulan hak asasi manusia ini. Pendirian yang lebih tegas harus dizahirkan dan kita seharusnya menyokong usaha Indonesia untuk mencapai penyelesaian.

Sebagai negara serantau yang terkesan dengan kemasukan pelarian Rohingya, kita mempunyai hak dan locus standi yang kuat dalam isu ini. Kemelut di Rakhine bukan sahaja menjejaskan kestabilan rantau ini, malah memberi kesan langsung terhadap kestabilan Malaysia – sebagaimana yang diperlihatkan melalui demonstrasi besar-besaran oleh komuniti Rohingya di ibu negara baru-baru ini.

Malaysia sebelum ini sangat dihormati oleh dunia kerana menjuarai isu-isu kemanusiaan di peringkat antarabangsa semasa kepimpinan Dr Mahathir seperti dalam isu Palestin, Bosnia dan sebagainya. Maka, seharusnya kepimpinan Najib Razak menggunakan kelebihan ini untuk meneruskan sikap Malaysia yang sentiasa proaktif dan lantang dalam isu kemanusian sejagat. – 5 September, 2017.

* Zairil Khir Johari adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen